Anda di sini

Frevirra Pearl Francis muncul juara Pekit Kumang Raban Ngepan Iban 2018

Advertisement
 Sylvester (kiri) dan Frevirra muncul juara  Pekit Keling dan Pekit Kumang RNI 2018.
KELING & KUMANGNYA: Sylvester (kiri) dan Frevirra muncul juara Pekit Keling dan Pekit Kumang RNI 2018.

MIRI: Frevirra Pearl Francis muncul juara Pekit Kumang Raban Ngepan Iban (RNI) 2018 menewaskan 13 finalis lain di peringkat akhir pertandingan yang diadakan di Dewan Suarah Miri di sini baru-baru ini.

Gadis Iban berusia 24 tahun dari Betong mewakili Sri Aman pada pertandingan tersebut dan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, mahkota, trofi, selempang, sejambak bunga dan beberapa hadiah tajaan lain.

“Saya sangat bersyukur atas kemenangan ini. Saya tidak menjangkakan bahawa saya boleh menjadi juara dalam pertandingan ini kerana semua peserta lain amat berbakat dan merupakan pesaing hebat bagi saya.

“Sebagai yang terkecil di kalangan semua peserta lain, saya berasa sangat gugup pada awalnya.

“Walau bagaimanapun, saya terus yakin dengan diri saya sendiri dan berdoa kepada Tuhan bahawa jika ini akan menjadi milik saya, maka mahkota itu adalah milik saya, dan akhirnya ia adalah milik saya,” jelas Frevirra kepada Utusan Borneo, sambil menambah bahawa beliau akan membelanjakan separuh daripada hadiah wang tunai tersebut untuk membeli aksesori dan barang-barang lain untuk pakaian tradisional ‘Ngepan’ beliau dan menyimpan separuh lagi untuk masa depan.

Frevirra yang merupakan graduan dari Kolej Sains Kesihatan Bersekutu Kuching berkata bahawa ini bukan percubaan pertama beliau dalam pertandingan seumpamanya.

“Saya juga memasuki dan memenangi pertandingan Kumang Gawai yang diadakan di Betong pada tahun 2014 serta Kumang Pesta Gawai Dayak MJC pada tahun 2017 di mana saya turut muncul sebagai juara.

“Ini merupakan penglibatan kali ketiga saya di dalam pertandingan ratu cantik. Penglibatan dalam pertandingan kali ini paling saya banggakan kerana melalui pertandingan ini saya telah belajar dan membuat penyelidikan lebih lanjut tentang budaya kaum saya sendiri.

“RNI adalah pertandingan yang paling mencabar kerana ia memerlukan para peserta untuk mengetahui lebih banyak mengenai ‘Adat Main Asal Bansa Iban’ dan soalan-soalan pada peringkat akhir adalah berkenaan budaya tradisi kaum Iban,” katanya sambil memberi kredit kepada keluarga dan rakan-rakan beliau atas sokongan mereka.

Bagi Frevirra, minatnya untuk mengambil bahagian dalam pertandingan itu adalah disebabkan oleh keinginan untuk memelihara budaya indah bangsa sendiri.

“Melalui pertandingan ini, saya dapat menunjukkan kepada dunia bahawa kaum Iban mempunyai budaya tradisional yang tersendiri,” tegasnya.

Frevirra menjelaskan bahawa idola beliau dalam pertandingan ratu cantik ialah juara Kumang Gawai Betong 2009, Ethel Lampai Ringgit, di atas pencapaian Ethel yang cemerlang dalam bidang tersebut.

“Beliau juga merupakan satu-satunya peserta dari Sarawak yang bertanding dalam Clever Girl Malaysia edisi pertama,” katanya.

Selain itu, Frevirra juga memenangi gelaran sampingan ‘Kumang Pengelandik Adat Main Asal Bansa Iban’ (Ratu Bakat) dan mendapat hadiah wang tunai RM500.

Tempat kedua dalam pertandingan tersebut jatuh kepada Maria Madelina Sujie, 22, dari Kuching.

Beliau membawa pulang hadiah  wang tunai RM2,000, mahkota, trofi, selempang, sejambak bunga dan beberapa hadiah tajaan lain.

Maria turut memenangi gelaran sampingan Pakaian Tradisional Terbaik (Kumang) yang mana beliau menerima hadiah wang tunai RM300.

Siti Noorazrin Arifin, 26, dari Marudi yang mewakili Kanowit muncul pemenang tempat ketiga dan menerima hadiah wang tunai RM1,500, mahkota, trofi, selempang, sejambak bunga dan beberapa hadiah tajaan lain.

Yvonne Ashley Lewis yang mewakili Betong dan Sophia Benet yang mewakili Bintulu berada di tempat keempat dan kelima. Yvonne juga memenangi gelaran sampingan ‘Kumang Mentas’ dan mendapat hadiah wang tunai RM250.

Peserta lain untuk Kumang RNI 2018 ialah Rechel Demai John, 20, yang mewakili Sibu; Prisilla Ubong Martin, 22 (Marudi); Wasty Mukamilu Willver, 19 (Sarikei); Jorelyn Josten, 23 (Niah); Jaylibna Glorya Jatai Jonathan, 22 (Kuching); Alice Rebut, 26 (Kapit), Falviana Joseph Chong, 23 (Julau); Erina Tahsa Rajis, 18 (Miri); dan Diana Elizabeth Patros, 22 (Limbang).

Untuk kali kedua sejak penubuhannya pada tahun 2015, pertandingan yang dianjurkan oleh Persatuan RNI juga menyaksikaan pertandingaan untuk peserta lelaki – Pekit Keling RNI  2018 yang menarik 10 peserta iaitu Jackson Dominic, 23 yang mewakili Kuching; Jackson Donny Andrew, 23 (Miri); Sylvester Kadir Gadu, 26 (Kanowit); Wellington Roland Ubam, 22 (Julau); Fredy Jabu Marcathy, 21 (Bintulu); Larryson Michael, 21 (Sibu); Sylvester Dakun Seman, 20 (Lubuk Antu); Roland Taa Gamang, 27 (Sri Aman); Swenson Libu, 26 (Betong); dan Hendrick Anthony, 23 (Kapit).

Sylvester Dakun dinobatkan sebagai Keling RNI 2018 dan menerima hadiah wang tunai RM5,000, trofi, selempang, sejambak bunga dan beberapa hadiah tajaan lain.

Beliau berkata beliau akan menggunakan wang itu untuk mendapatkan lebih banyak aksesori untuk ‘Ngepan’ untuk simpanan dan untuk generasi masa depan.

Sylvester, yang bekerja sebagai seorang pelukis pelan di Creative Eight Concept di Kuching, berkata pertandingan seumpama itu bukanlah benda baharu buat beliau.

“Saya telah memasuki Keling Gawai MJC pada tahun 2017 di mana saya muncul pemenang tempat ketiga.

“Memenangi Keling RNI 2018 membuatkan saya merasa bangga kerana saya mewakili kampung halaman saya sendiri dengan pakaian tradisional ‘Ngepan’ yang berasal dari Lubok Antu.

“Ia bukan hanya kerana saya mahukan gelaran itu, tetapi ia adalah mengenai tradisi dan kebudayaan saya,” kata pemuda kacak dari Lubok Antu tersebut, sambil menambah bahawa ia adalah penting untuk peserta membekalkan diri dengan pengetahuan budaya mereka sendiri dan yakin dengan diri sendiri.

Bagi Sylvester, pengalaman yang diperolehnya dari pertandingan tersebut berjaya menjadikkannya lebih memahami tradisi dan budaya kaum beliau sendiri.

“Saya kini lebih bertekad untuk mempromosikan budaya Iban ke tahap yang lebih tinggi dan menggalakkan generasi muda mempelajari dan memupuk minat yang mendalam terhadap seni, budaya dan tradisi kita.

“Pertandingan ini adalah satu satu platform terbaik untuk mengekalkan budaya kita,” katanya.

Selain dinobatkan sebagai juara Pekit Keling RNI 2018, Sylvester juga memenangi gelaran sampingan ‘Keling Mentas’ dan memenangi hadiah wang tunai RM250.

Wellington dan Jackson Donny masing-masing muncul pemenang tempat kedua dan ketiga dan membawa pulang RM2, 000 dan RM1, 500. Mereka juga membawa pulang mahkota, trofi, selempang, sejambak bunga dan beberapa hadiah tajaan lain.

Roland muncul pemenang tempat keempat dan Swenson di tempat kelima.

Sementara itu, Larryson muncul sebagai pemenang Pakaian Tradisional Terbaik (Keling) di mana beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM300, manakala gelaran sampingan ‘Keling Pengelandik Adat Main Bansa Iban’ (Raja Bakat) jatuh kepada Hendrik Anthony yang memberikan hadiah wang tunai RM500.

Finalis lain tidak pulang dengan tangan kosong kerana mereka juga menerima wang tunai RM100 setiap seorang.

  • oleh
  • Advertisement