Anda di sini

Dua pemuda pecah masuk rumah kena lima bulan

Advertisement

SIBU: Dua pemuda masing-masing dijatuhkan hukuman lima bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah memecah masuk sebuah rumah di Jalan Rantau Panjang Jaya, Sabtu lepas.

Jimmy Jana, 25, dan Pehiap Gelayan, 20, diperintah menjalani hukuman penjara itu berkuat kuasa semalam.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa memecah masuk sebuah rumah di Jalan Rantau Panjang Jaya pada 21 April lalu, antara jam 6 petang hingga 12.10 tengah malam.

Dalam kejadian itu, mereka melarikan satu unit televisyen dan pemain DVD Sony, pembersih udara Coway, selinder gas, woofer jenama Mix Audio dan Logitech, CPU jenama Segotep, pembesar suara Sony dan Autocraft, dapur gas Butterfly, dua unit pembesar suara Performance dan empat unit rim jenama Vossen.

Atas kesalahan tersebut, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang dibacakan bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Seksyen 457 ini memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Dalam rayuan, kedua-dua mereka merayu agar dikenakan hukuman yang ringan.

Advertisement