Anda di sini

120,000 lepasan sekolah manfaat program JPB

Advertisement

KINABATANGAN: Seramai 120,000 lepasan sekolah di seluruh negara telah mendapat manfaat daripada program Jelajah Pendidikan Bumiputera (JPB) sejak ia mulai diperkenalkan dua tahun lalu.

Pengerusi Felcra Berhad Dato' Sri Bung Moktar Radin berkata, program khas yang diilhamkan oleh Perdana Menteri itu secara tidak langsung dapat membantu pelajar yang kurang cemerlang untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, program itu adalah niat keikhlasan Perdana Menteri dalam memberi jaminan masa depan agar negara ini akan diwarisi oleh pelapis yang benar-benar berkualiti dan boleh berdaya saing dengan bangsa lain.

"Lebih 600 pelajar yang hadir pada hari ini diberi jaminan akan mendapat tempat di mana-mana institusi pendidikan yang menyertai jelajah ini. Lebih istimewa lagi, apabila mereka akan diberi bantuan awal pengajian oleh Yayasan Bank Rakyat selain bantuan kewangan khas yang ditawarkan oleh beberapa institusi.

"Namun, ini bukan soal bantuan wang semata-mata tetapi apa yang lebih penting adalah komitmen kerajaan yang mahu melihat anak bangsa kita menjadi masyarakat yang boleh berdaya saing dengan bangsa lain," jelasnya kepada media selepas merasmikan JPB di Dewan Sri Lamag di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Bung Moktar juga menjelaskan golongan pelajar merupakan platform yang sesuai dalam mempertahankan kerajaan dan Perdana Menteri.

Katanya, pada masa kini wujud segelintir pihak yang menanamkan kebencian terhadap Perdana Menteri dan kerajaan.

BUNG Moktar (dua kiri) bersama Sahol (kiri) ketika majlis perasmian siri JPB di Dewan Sri Lamag.
BUNG Moktar (dua kiri) bersama Sahol (kiri) ketika majlis perasmian siri JPB di Dewan Sri Lamag.

"Oleh itu, anak-anak muda perlu bangkit mempertahankan Perdana Menteri kita. Kalau bukan mereka, siapa lagi? Negara kita telah dibina lebih 60 tahun yang lalu dan rakyat menikmati keamanan dan kemakmuran selama ini.

"Walaupun kita hidup berbilang kaum, tetapi kerajaan pada hari ini mampu membentuk masyarakatnya yang boleh duduk sebumbung dengan bangsa lain," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Induk JBP Prof Emeritus Tan Sri Dr Sahol Hamid Abu Bakar berkata Kinabatangan merupakan lokasi terakhir bagi siri jelajah itu di Sabah.

Katanya, pada tahun ini pihaknya menawarkan 6,000 tempat untuk pelajar di Sabah dan tawaran itu akan terbuka sehingga 10,000 tempat sekiranya masih ramai pelajar yang berminat.

"Selepas program ini, kita juga sedia menerima dan membantu para pelajar yang berminat mahu melanjutkan pelajaran," katanya sambil menambah, JPB akan diteruskan ke Sarawak selepas ini.

JPB merupakan cetusan idea bernas Perdana Menteri dengan matlamat utama ke arah meningkatkan pendidikan anak bumiputera khususnya di kawasan luar bandar.

Pada tahun ini, siri JPB itu akan menjelajah ke 32 lokasi di seluruh negara yang melibatkan 92 kawasan Parlimen.

BUNG Moktar bersama tetamu jemputan dan pelajar lepasan sekolah yang menghadiri JPB di Kinabatangan.
BUNG Moktar bersama tetamu jemputan dan pelajar lepasan sekolah yang menghadiri JPB di Kinabatangan.
  • oleh
  • Advertisement