Anda di sini

TM buka TMpoint Authorised Dealer baharu di UTC Kuching

Advertisement
  Sudirman (empat kiri) bersama Christopher (tiga kanan) melancarkan cawangan TAD baharu di UTC Kuching, kelmarin.
LANCAR CAWANGAN: Sudirman (empat kiri) bersama Christopher (tiga kanan) melancarkan cawangan TAD baharu di UTC Kuching, kelmarin.

KUCHING: Pelanggan Telekom Malaysia Berhad (TM) di Sarawak kini boleh menikmati pengalaman lebih mudah dengan pembukaan cawangan TMpoint Authorised Dealer (TAD) baharu di Pusat Transformasi Bandar (UTC), Kuching kelmarin.

Menurut kenyataan akhbar kelmarin, dengan pembukaan cawangan baharunya itu, TM kini mempunyai sebanyak 96 buah premis TAD dan 98 premis TMpoint di seluruh negara.

Pembukaan cawangan TAD terbaharu di Kuching itu telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, TM Sales and Services Sdn Bhd (TSSSB) Sudirman Walid bersama pemilik CLZ Resources (Sarawak) Sdn Bhd Christopher Tan.

“Dengan pembukaan cawangan TAD baharu kami di Kuching ini, TM kini mempunyai sebanyak empat premis TAD di Sarawak bagi memenuhi keperluan para pelanggan kami.

“Premis-premis TAD kami menyediakan perkhidmatan yang sama seperti premis TMpoint tetapi dengan skala yang lebih kecil.

“Cawangan TAD kami terletak di kawasan-kawasan awam yang strategik di seluruh negara, dan ini membolehkan lebih ramai pelanggan untuk menikmati penawaran perkhidmatan daripada TM, membuat pelbagai transaksi dengan TM serta mempunyai akses mudah kepada khidmat bantuan pelanggan.

Sekali gus, ini menunjukkan usaha berterusan kami dalam memberikan pengalaman pelanggan yang terbaik, bertepatan dengan janji kami iaitu ‘Hidup Lebih Mudah’,” katanya kelmarin.

Program TAD merupakan inisiatif daripada TM dan anak syarikatnya, TSSSB untuk terus memperluaskan rangkaian 98 premis TMpointnya di seluruh negara, terutamanya di kawasan-kawasan yang tidak tersedia cawangan TMpoint.

Program TAD mengguna pakai konsep Dealer Owned, Dealer Operated, di mana setiap cawangannya akan diurus sepenuhnya oleh pemilik yang dilantik oleh TM.

Inisiatif tersebut memberi peluang kepada pengusaha yang dilantik untuk membuka premis mereka sendiri dengan sokongan daripada TM.

Justeru membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan kepada PKS dan komuniti tempatan.

“Ini memperkukuhkan lagi fokus TM dalam meningkatkan pengalaman perkhidmatan pelanggan kami dan pada masa yang sama memainkan peranannya dalam pembangunan masyarakat,” katanya.

Untuk maklumat lanjut mengenai penawaran produk dan promosi terbaharu daripada TM, layari www.tm.com.my.

Advertisement