Anda di sini

Lima pelajar warga asing disyaki merusuh direman

Advertisement

MIRI: Lima pelajar warga asing ditangkap kerana disyaki merusuh di sebuah bistro di pusat bandar di sini diperintahkan Mahkamah Majistret supaya direman dua hari untuk membantu siasatan lanjut polis.

Perintah itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Md Syafique Md Hilmie setelah membenarkan permohonan reman dikemukakan pegawai penyiasat Inspektor Mohd Fitri Kukung dari Balai Polis Pusat Miri.

Dalam permohonannya, Mohd Fitri memberitahu pada 22 April lalu seorang lelaki membuat laporan di Balai Polis Pusat Miri.

Dalam aduannya, mangsa, 28, mendakwa sekitar jam 2 pagi hari sama ketika berada di sebuah bistro di sini, beliau ditumbuk oleh beberapa individu tidak dikenali merupakan pelanggan premis tersebut.

Kejadian dipercayai berpunca gara-gara mangsa menegur mereka kerana membawa minuman dari luar ke premis tersebut.

Bertindak atas maklumat, sekitar jam 3.45 petang, 23 April lalu polis menahan lima individu terdiri empat lelaki dan seorang wanita di sebuah pusat pengajian tinggi di sini kerana disyaki terlibat dalam kes ini.

Dalam permohonan lanjutnya, Mohd Fitri memberitahu reman empat hari mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah ke atas semua suspek berusia antara 19 hingga 26 tahun dan berasal dari Zimbabwe amat diperlukan  membolehkan polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kes ini disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.

Selain itu, polis masih memerlukan masa merakam keterangan saksi dan suspek serta melakukan kawad cam, justeru membebaskan mereka lebih awal akan menjejaskan siasatan lanjut polis.

Bagaimanapun, mahkamah hanya membenarkan reman selama dua hari sehingga 26 April ini.

Advertisement