Anda di sini

Liaoning ketuai ‘latihan tempur hidup’

Advertisement
 Gambar menunjukkan Liaoning menyertai latihan oleh Tentera Laut China baru-baru ini. — Gambar Reuters
PERTUNJUKAN KEKUATAN: Gambar menunjukkan Liaoning menyertai latihan oleh Tentera Laut China baru-baru ini. — Gambar Reuters

BEIJING: Kapal pengangkut pesawat tunggal China telah mengetuai armada kapal tentera laut dalam “latihan tempur hidup” di Laut China Timur, media kerajaan melaporkan semalam, iaitu pertunjukan kekuatan terbaharu oleh tentera laut Beijing yang semakin besar.

Agensi berita rasmi Xinhua berkata armada kapal tersebut “menyertai latihan perang antipesawat dan antikapal selam” menentang “tentera musuh” yang disimulasi.

Xinhua berkata latihan itu, yang berlangsung Ahad lepas, termasuk beberapa pelepasan pesawat dari dek kapal pengangkut pesawat Liaoning oleh jet pejuang J-15 dan “antimisil udara dilepaskan dari kapal-kapal yang mengelilingi kapal pe-ngangkut pesawat”.

Gerakan itu berlaku di Laut China Timur, tetapi laporan itu tidak memberi lokasi sebenar.

Laut berkenaan mempunyai pulau-pulau kecil tidak berpenghuni yang menjadi tumpuan perbalahan yang semakin serius antara Tokyo dengan Beijing.

Kerajaan Jepun sudah lama mengadu tentang kebiasaan China mengerahkan kapal pengawal pantai ke perairan di sekitar pulau-pulau tersebut.

Kehadiran konvoi tentera laut yang menjalankan latihan serangan hidup di Laut China Timur boleh menimbulkan kemarahan Tokyo.

Kapal Liaoning merupakan sebuah kapal pengangkut pesawat era Perang Dingin yang telah diubahsuai selepas ia dibawa dari Ukraine dan ditauliahkan pada 2012.  

Ia telah mengadakan lawatan yang dipamerkan de-ngan begitu ketara sejak beberapa minggu lepas, dan menjalankan siri latihan untuk menunjukkan kekuatan diiringi armada kapal sokongan, termasuk kapal pemusnah.

Pada awal bulan ini, Pre-siden China Xi Jinoing memeriksa konvoi tersebut ketika ia menjalani latihan di Laut China Selatan yang menjadi rebutan.

Beijing menuntut kedaulatan ke atas hampir seluruh perairan yang kaya dengan sumber semula jadi itu, dan membina pulau-pulau tiruan di sana yang berupaya menampung peralatan keten-teraan, walaupun beberapa negara jiran di Asia Tenggara turut membuat tuntutan ma-sing-masing.

Armada tersebut kemudian mengadakan dua latihan ber-asingan pada minggu lepas di perairan kedua-dua bahagian Taiwan, yang menimbulkan kemarahan kerajaan di Taipei.

China menganggap Taiwan yang diperintah secara demokratik sebagai sebahagian daripada negaranya yang memberontak dan perlu dibawa balik ke dalam lingkungannya, malah ia tidak menolak penyatuan semula menerusi kekerasan.

Kapal Liaoning merupakan kebanggaan tentera laut China yang semakin pesat berkembang, ekoran tekad Beijing untuk menjadi kuasa tentera laut global yang besar, khususnya di rantau Pasifik.

Akhbar Global Times milik kerajaan berkata kapal pengangkut pesawat pertama yang dibuat sendiri oleh China mula bergerak dari pelabuhannya kelmarin untuk bersiap sedia bagi cubaan pertamanya di laut, manakala model ketiga yang lebih moden sedang dibina di sebuah limbungan di Shanghai.

Seteru utama China di rantau Pasifik, Amerika Syarikat, kini memiliki 11 kapal pengangkut pesawat yang beroperasi dan dua lagi kini sedang dibina. — AFP

Advertisement