Anda di sini

Lelaki disyaki terlibat kes tipu berjaya diberkas polis

Advertisement

MIRI: Polis berjaya memberkas seorang lelaki disyaki terlibat dalam kes tipu berkaitan tawaran kerja di negara jiran petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Lim Ming Seah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ke atas suspek berusia 39 tahun dari Jalan Pujut Tanjung Batu di sini.

Katanya, tangkapan ke atas suspek dibuat berikutan satu laporan polis diterima daripada seorang wanita pada hari sama.

Dalam aduannya, mangsa, 21, mendakwa sekitar jam 12 tengah hari, 23 April lalu beliau berjumpa dengan suspek di kawasan Pujut Adong berbincang urusan pekerjaan di mana suspek ada meminta wang daripada mangsa.

“Semasa berbincang, tiba-tiba orang ramai mendakwa ditipu oleh suspek datang menyerbu ke pejabat tersebut sehingga berlaku pergelutan.

“Suspek kemudian berjaya ditangkap oleh orang awam sebelum diserahkan kepada polis untuk diambil tindakan lanjut,” katanya.

Berikutan tangkapan itu, suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Pusat Miri untuk disoal siasat lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Difahamkan, suspek dipercayai menjalankan kegiatan penipuan itu sejak tiga bulan lalu dengan menawarkan pekerjaan kepada orang ramai bekerja di negara jiran Brunei dengan setiap pemohon dikehendaki membayar antara RM500 hingga RM1,000.

Setelah lama menunggu, namun pekerjaan dijanjikan tidak muncul menyebabkan semua mangsa berang dan bertindak menyerbu pejabatnya.

Sehingga pagi semalam, sekurang-kurangnya tiga laporan polis telah dibuat oleh mangsa terhadap suspek.

Semasa tangkapan dibuat, polis turut merampas beberapa data peribadi pemohon pekerjaan daripada suspek untuk dijadikan barang kes.

Advertisement