Anda di sini

Kerajaan negeri sokong perkembangan industri perkapalan

Advertisement
 (Atas, dari kiri) Awang Tengah, Ngieng, Asfia (empat kiri) dan yang lain pada Majlis Pelancaran Projek Naik Taraf Estet Perindustrian Rantau Panjang, Sibu semalam.
LANCAR: (Atas, dari kiri) Awang Tengah, Ngieng, Asfia (empat kiri) dan yang lain pada Majlis Pelancaran Projek Naik Taraf Estet Perindustrian Rantau Panjang, Sibu semalam.

SIBU: Persatuan Limbungan Kapal Sibu digesa sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri agar dapat menyediakan program sesuai yang memberi manfaat maksimum kepada ahlinya.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, kerajaan negeri terus menyokong perkembangan industri perkapalan di Sarawak dengan menyediakan prasarana dan kemudahan perindustrian diperlukan.

Katanya, ini diterjemahkan menerusi projek menaik taraf sistem pengiran dan saliran di Estet Perindustrian Perkapaian Rantau Panjang dengan kos sejumlah RM10.7 juta.

“Kerajaan negeri meluluskan kawasan baharu dengan keluasan 250 ekar untuk pembesaran Estet Perindustrian Perkapalan Rantau Panjang. Sekarang kerajaan dalam proses pengambilan balik tanah untuk tujuan itu.

“Ini memberi kita ruang lebih besar untuk aktiviti membina dan membaiki kapal di Estet Perindustrian Perkapalan Rantau Panjang,” katanya pada Majlis Pelancaran Projek Naik Taraf Estet Perindustrian Rantau Panjang Sibu, petang semalam.

Hadir sama Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri Muda Pembangunan Perindustrian Malcolm Mussen Lamoh, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Datu Liaw Soon Eng, Pengerusi Persatuan Limbungan Kapal Sibu Ngieng Ping Sing, Residen Bahagian Sibu Charles Siaw dan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Sibu (SCCI) Dr Gregory Hii.

Menteri Perindustrian dan Keusahawanan, Pembangunan Bandar dan Sumber Asli itu berkata Sarawak merupakan hab industri perkapalan bagi seluruh Malaysia.

Beliau mendedahkan, daripada 100 limbungan kapal di Malaysia sebanyak 60 terdapat di Sarawak manakala 40 limbungan kapal di Sibu.

“Ini menunjukkan peranan besar dimainkan industri perkapalan di Malaysia dan dengan itu Sibu boleh dikatakan sebagai pusat industri pembinaan kapal dan pembaikan kapal di Malaysia.

“Oleh itu, saya amat berbangga dengan pembuat kapal yang telah menunjukkan keupayaan dan kelebihan mereka membina kapal berkualiti.

“Saya yakin industri pembinaan kapal dan pembaikan kapal di Sibu terus memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi Sarawak terutama di Sibu,” katanya.

Beliau menambah, kerajaan negeri juga menetapkan tanah di Tanjung Manis dan Paloh untuk industri pembinaan kapal.

Jelasnya, perairan dalam Tanjung Manis dan Paloh membolehkan kapal-kapal besar serta landasan luar pesisir dapat dibina di sana.

“Kerajaan negeri juga meluluskan kawasan seluas 150 ekar pembangunan Kawasan Perindustrian Sibu,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement