Anda di sini

Jurutera kanan didakwa terima suapan RM25,000

Advertisement
 Azizan (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen semalam, atas tuduhan menerima suapan bernilai RM25,000 membabitkan pemberian kontrak menaik taraf cerun dan parkir berbumbung Bangunan JKR Daerah Kulai pada 23 Oktober 2015. — Gambar Bernama
TERTUDUH: Azizan (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen semalam, atas tuduhan menerima suapan bernilai RM25,000 membabitkan pemberian kontrak menaik taraf cerun dan parkir berbumbung Bangunan JKR Daerah Kulai pada 23 Oktober 2015. — Gambar Bernama

JOHOR BAHRU: Seorang jurutera kanan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas pertuduhan menerima suapan RM25,000 bagi pemberian kontrak kepada seorang kontraktor, tiga tahun lepas.

Tertuduh Azizan Mohamed Yassin, 39, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun dan memohon untuk dibicarakan.

Mengikut kertas pertuduhan, Azizan yang bertugas di Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kulai (ketika itu) didakwa secara rasuah memperoleh untuk dirinya suapan bernilai RM25,000 daripada Abu Bakar A. Aziz.

Suapan itu yang dibayar menggunakan akaun Maybank milik Zaharah Ahmad adalah sebagai dorongan untuk memberikan kerja-kerja menaik taraf cerun dan parkir kenderaan jabatan berbumbung di JKR Daerah Kulai kepada Abu Bakar selaku kontraktor.

Kesalahan dilakukan di Maybank Cawangan Taman Universiti, Jalan Kebudayaan 4, Taman Universiti, Skudai di sini kira-kira 4.03 petang pada 23 Okt 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum menerusi Seksyen 24(1) akta sama iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor Khazrin Hafiz Khalil manakala tertuduh diwakili peguam, Azi Azlin Zulkifli.

Terdahulu, pihak pendakwaan menawarkan tertuduh diikat jamin RM30,000, selain meletakkan syarat tambahan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah  hingga kes selesai.

Pihak pembelaan, bagaimanapun membantah tawaran itu kerana menganggap jaminan tidak seharusnya bersifat hukuman selain mengambil kira tertuduh dihimpit beban kewangan selepas membayar wang jaminan RM20,000 bagi kes lain yang dibicarakan tahun lepas. — Bernama

Advertisement