Anda di sini

IKM giat usaha lahir modal insan berkemahiran tinggi

Advertisement
ROSNAH (dua kanan) melihat salah satu produk inovasi yang dihasilkan IKM Kota Kinabalu. Turut kelihatan Suhaimi (kanan).
ROSNAH (dua kanan) melihat salah satu produk inovasi yang dihasilkan IKM Kota Kinabalu. Turut kelihatan Suhaimi (kanan).

KOTA KINABALU: Penerapan latihan kemahiran yang dibawa Institut Kemahiran Mara (IKM) Kota Kinabalu di Sabah bersama institusi kemahiran lain satu langkah bijak dalam melahirkan modal insan berkemahiran tinggi.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, inisiatif berkenaan akan menjadi satu platform yang menyumbang kepada penghasilan pekerja berkemahiran tinggi.

Menurutnya, usaha itu juga bakal memenuhi keperluan pekerjaan seramai 1.8 juta menjelang 2020.

"Ia sekaligus mampu menjana pendapatan negara sebanyak RM6 billion hingga RM7.2 bilion setahun dengan jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 17 peratus bagi setiap tahun," katanya.

Beliau berkata demikian sempena perasmian Program 'Skills and Entrepreneurship Exhibition & Competition' (SEEC) 2018 IKM di sini pada Selasa.

Rosnah berkata, kebolehpasaran graduan pada masa kini tidak lagi diukur dengan pencapaian akademik semata-mata.

Katanya, ia perlu diseimbangi dengan kemahiran tinggi termasuk latihan teknikal serta vokasional yang berorientasi dan memenuhi keperluan pasaran industri.

"Melalui pembangunan dan keberkesanan pendidikan Latihan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), kebergantungan kepada pekerja asing hanya 15 peratus sahaja.

"Selain meningkatkan taraf hidup rakyat, ini juga akan memastikan pakar tempatan mampu mendapat gaji yang setimpal dengan pakar dari luar negara," jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Mara Negeri Sabah Suhaimi Zainuddin berkata, penyertaan berterusan pelajar dalam WorldSkills Malaysia kategori belia dilihat sebagai satu platform yang baik bagi mencungkil bakat dalam reka cipta, inovasi dan membina semangat daya saing dalam kalangan pencipta muda.

Menurutnya, pertandingan sebegini turut memberi peluang kepada pelajar yang berkebolehan dan berketrampilan.

"Dengan pengiktirafan sebegini, kebolehpasaran mereka dalam kerjaya akan membantu menjana pendapatan yang tinggi.

"Ini dapat dibuktikan melalui pecapaian bekas pelajar IKM yang memiliki sijil profesional sebagai 'Underwater Welder' mampu meraih pendapatan sebanyak RM34,000 sebulan.

"Ia amat membanggakan kami kerana bidang kemahiran sememangnya amat diperlukan dalam pembangunan industri dan negara khususnya," katanya.

SEEC 2018 yang berlangsung dari 23 hingga 25 April 2018 menyaksikan Pertandingan WorldSkills Malaysia Belia bagi bidang kimpalan, penyejukan dan pendingin hawa, serta pemasangan elektrik.

  • oleh
  • Advertisement