Anda di sini

Curi: Dua pemuda dipenjara enam bulan

Advertisement

SIBU: Mahkamah Majistret di sini semalam menjatuhkan hukuman enam bulan penjara terhadap dua pemuda yang mengaku bersalah menyimpan harta curi.

Majistret Saiful Sayoti mendengar kes turut memerintahkan kedua-dua tertuduh, Wong Kah Hock, 24, dan Stephen Avun, 20, menjalani hukuman itu bermula tarikh mereka ditahan, 13 April lalu.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa bersama seorang lagi masih bebas menyimpan harta curi di sebuah rumah, Jalan Sukun di sini pada 13 April lalu jam 3.40 petang.

Mereka didakwa menyimpan harta curi iaitu empat pasang kasut berwarna merah, dua unit rebonding heater, dua unit bateri lori terpakai, tiga pasang kasut berwarna hitam dan satu gulung wayar.

Bagi pertuduhan itu, kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, seorang kerani syarikat di Jalan Then Kung Suk di sini membuat laporan polis mendapati pintu pagar syarikat terbuka pada 11 April lalu kira-kira jam 8.45 pagi.

Pada 13 April, lebih kurang jam 3.40 petang sepasukan polis menyerbu sebuah rumah dipercayai didiami suspek serta menahan tiga lelaki.

Siasatan lanjut polis menemui bahan bukti di kediaman tersebut.

Advertisement