Anda di sini

CAEXPO ruang pasar produk melalui platform e-dagang

Advertisement

JOHOR BAHRU: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menggalakkan syarikat tempatan untuk menyertai Ekspo China-ASEAN (CAEXPO 2018) bagi mendedahkan mereka dengan peluang perniagaan menerusi platform e-dagang.

Pengarah Unit China MATRADE, Ong Yew Chee, berkata ia merupakan usaha pihaknya untuk memberi kesinambungan terhadap pemasaran produk khususnya yang dikeluarkan syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurutnya, dijangkakan sebanyak 179 syarikat tempatan bakal menyertai ekspo berkenaan dan berpeluang memasarkan produk atas talian melalui kerjasama antara MATRADE dan China Post Group yang dijalin pada pada tahun lepas.

“Melalui e-dagang, MATRADE sentiasa galak usahawan untuk pasar produk melalui China Post malahan melalui Alibaba (Group), juga mereka boleh ‘claim’ sebanyak RM5,000 untuk pasar produk dan daftar keahlian.

“Usahawan Bumiputera seharusnya mengambil peluang ini dengan memasarkan produk bukan sahaja semasa ekspo berlangsung, malahan selepas berakhirnya eskpo,” katanya kepada pemberita pada sidang media selepas majlis perasmian persidangan jelajah promosi Caexpo 2018, di sini, semalam.

China Post ialah perusahaan milik negara yang mengendalikan perkhidmatan pos rasmi China manakala Alibaba adalah konglomerat multinasional e-dagang, runcit, Internet dan Kecerdasan Buatan (AI) China.

Sementara itu Ong berkata, MATRADE yang akan mengetuai delegasi syarikat Malaysia menyasarkan jumlah jualan bernilai RM450 juta daripada CAEXPO 2018 yang akan diadakan di Nanning, China, pada 12 hingga 15 Sept depan.

Menurutnya, bagi penyertaan tahun ini, Malaysia memfokuskan kepada jualan pelbagai produk dan perkhidmatan termasuk gaya hidup, makanan dan minuman (F&B), kesihatan, francais serta perkhidmatan.

“Kita juga mahu menarik lebih ramai penyertaan usahawan dari Johor, dan penganjuran sebelum ini kita mencatatkan 10 syarikat dari negeri ini menyertai ekspo di negara ekonomi kedua terbesar dunia itu.

“Apa yang penting, kita ingin memilih syarikat yang memiliki jenama dan produk berkualiti serta berkeupayaan untuk memenuhi permintaan pasaran di sana (China),” katanya.

Jumlah perdagangan Malaysia dengan China berkembang sebanyak 20.6 peratus kepada RM290.65 bilion pada 2017 daripada RM240.9 bilion pada 2016.

Sementara, eksport Malaysia ke China pada 2017 bernilai RM126.15 bilion, manakala import direkodkan sebanyak RM164.5 bilion. — Bernama

Advertisement