Anda di sini

Budak Australia, 12, lari ke Bali guna kad kredit ibu bapa

Advertisement

SYDNEY: Polis Australia semalam menyiasat bagai-mana seorang budak lelaki berusia 12 tahun dapat terbang berseorangan ke Pulau Bali di Indonesia dan menghabiskan masa selama empat hari di sebuah pusat peranginan menggunakan kad kredit ibu bapanya.

Budak itu lari dari rumahnya di Sydney selepas dia bergaduh dengan ibunya, mula-mula terbang ke bandar raya Perth di Western Australia atas pesawat syarikat penerbangan tambang murah Jetstar dan seterusnya ke Bali, menurut syarikat penyiaran komersil Channel Nine.

“Dia cuma tidak suka perkataan ‘tidak’, dan itulah apa yang saya dapat, seorang anak di Indonesia,” kata ibunya Emma kepada Channel Nine dalam satu program yang disiarkan lewat kelmarin.

“Ia terlalu mudah, ia terlalu mudah sekali. Sistem kita ada masalah,” katanya, yang menuntut kawalan lebih ketat ke atas perjalanan udara oleh golo-ngan muda.

Keluarga terbabit pernah melawat Bali untuk bercuti dan Emma berkata anaknya sendiri pernah cuba me-nempah penerbangan ke sana tetapi ditolak oleh syarikat penerbangan kerana dia tidak ada surat daripada Emma.

“Kami menjerit, kami merayu bantuan (daripada pihak berkuasa Australia) selama berminggu-minggu,” ujar Emma.

“Ketika cubaan pertama ke Indonesia berlaku, kami diberitahu pasportnya akan diletakkan dalam pengawasan.”

Budak itu, yang “mahu melakukan pengembaraan”, berkata dia dimaklumkan oleh kakitangan syarikat penerbangan berkenaan pada kali ini bahawa dia tidak memerlukan keizinan daripada ibu bapanya untuk menaiki penerbangan.

Budak itu menghabiskan masa selama empat hari di Bali, di mana menurutnya dia mendaftar diri ke dalam sebuah hotel, menyewa skuter dan minum bir sebelum seorang rakan memaklumkan ibunya tentang sebuah video budak itu yang bermain di dalam kolam renang.

Percutian itu menyebabkan ibu bapanya menanggung kos AUS$8,000 (RM23,180), menurut Channel Nine.

Polis Persekutuan Australia berkata mereka mula-mula dimaklumkan bahawa budak itu mungkin cuba meninggalkan negara itu pada 8 Mac lepas, sebelum diberitahu dia mungkin ber-ada di Bali pada 17 Mac.

Budak itu ditemui polis Indonesia pada hari berikutnya.

Ibu bapanya kemudian terbang ke Bali untuk membawa dia balik.

Polis persekutuan berkata amaran untuk menghalang perjalanan antarabangsa tidak diletakkan ke atas budak itu, dan ia tidak ada kuasa untuk membatal atau memohon pembatalan pasport jika jenayah tidak disyaki telah dilakukan.

“AFP akan bekerja dengan agensi lain untuk menyemak semula keadaan di sebalik perkara ini dan prosedur operasi sekarang, untuk memastikan insiden seperti ini tidak berlaku lagi,” seorang jurucakap AFP menyebut dalam satu kenyataan.

Jetstar memberitahu Channel Nine, syarikat pener-bangan itu sudah menukar prosedurnya untuk menghalang budak berusia lebih 12 tahun daripada terbang tanpa kebenaran ibu bapa.

Pada amnya, syarikat pe-nerbangan Australia tidak membenarkan kanak-kanak yang berusia lebih muda daripada lima tahun untuk terbang bersendirian.

Kanak-kanak di antara umur lima hingga 11 tahun mesti ditempah atas tiket budak bawah umur tanpa pengiring manakala mereka yang berusia 12-15 tahun diwajibkan untuk mendapatkan slip kebenaran daripada ibu bapa atau penjaga mereka. — AFP

Advertisement