Anda di sini

Ting tidak gentar berdepan semula dengan Dr Teo

Advertisement
 

MIRI: Calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Miri, Datuk Sebastian Ting tidak gentar jika harus berdepan semula dengan lawannya, Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Miri, Dr Michael Teo, pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), 9 Mei ini nanti.

Bercakap kepada Utusan Borneo ketika ditemui di Lapangan Terbang Miri di sini, hari ini, Ting berkata beliau juga tidak akan berputus asa untuk menawan Miri dan tidak akan membiarkan kerusi itu terus berada dalam gengaman pembangkang.

"Setiap pilihan raya adalah mencabar dan sukar, namun saya tetap bersedia menghadapinya dan berjanji melakukan yang terbaik untuk memenangi semula (Parlimen) Miri," kata Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) tersebut.

Pada masa yang sama, beliau amat berterima kasih kepada pengerusi tertinggi BN Pusat dan Negeri kerana masih meletakkan kepercayaan dan harapan kepada beliau untuk merampas semula Miri dari pembangkang.

"Saya juga berterima kasih kepada para penyokong BN di Miri, SUPP Miri, Datuk Bandar Adam Yii, (Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan) Datuk Lee Kim Shin dan para pemimpin SUPP di peringkat akar umbi di sini yang telah bekerja keras bersama-sama saya selama ini. 

"Kerja keras mereka selama ini telah memberi keyakinan kepada saya untuk melakukan yang terbaik kelak dan seterusnya memenangi semula kerusi Miri," tambahnya.

Sebastian tiba di Lapangan Terbang Miri di sini petang tadi dari Kuching, selepas menyertai Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan pemimpin BN Negeri yang lain, untuk pengumuman nama calon BN. 

Beliau  yang juga Setiausaha Agung SUPP merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Piasau, dicalonkan semula untuk PRU ke-14 ini bagi kerusi Parlimen Miri.
 

  • oleh
  • Advertisement