Anda di sini

PSS perkenal program ‘Rules of Fitness’ tahun ini

Advertisement
 Peserta menyertai program ‘Rules of Fitness’ diadakan buat julung kalinya di Stadium Perpaduan Kuching semalam.
UNTUK KESIHATAN: Peserta menyertai program ‘Rules of Fitness’ diadakan buat julung kalinya di Stadium Perpaduan Kuching semalam.

KUCHING: Dalam usaha mempromosi gaya hidup sihat kalangan masyarakat, Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) memperkenal program ‘Rules of Fitness’ bermula tahun ini.

Program perintis itu bermula semalam di Stadium Perpaduan, Petra Jaya di sini dan disertai kira-kira 420 peserta.

Pengurus Bahagian Pembangunan dan Penyelenggaraan Fasiliti PSS, Gordon Hon berkata sambutan menggalakkan pada program itu memberi mereka ilham menganjurkan program sama dalam skala lebih besar pada 2 Oktober depan.

“Program ‘Rules of Fitness’ bertujuan memperkenal kepada masyarakat manfaat mengamalkan gaya hidup cergas bermula program kecergasan secara berkumpulan.

“Pada masa sama, PSS secara perlahan mendidik masyarakat melibatkan diri dalam budaya sukan tidak hanya memberi manfaat kepada mereka tetapi kepada Sarawak.

“Untuk program pada Oktober nanti, kita menyasarkan sekitar 1,000 peserta termasuk dari luar negara turut serta,” kata Gordon mewakili Ketua Pegawai Eksekutif PSS, Dr Ong Kong Swee.

Menurutnya, kejayaan penganjuran edisi pertama itu nanti membuka peluang kepada PSS menarik penyertaan peserta dari negara luar seperti Singapura, Indonesia, Filipina, Thailand, Vietnam dan Myanmar pada program seterusnya.

Katanya, ini amat penting membantu mempromosi industri pelancongan sukan di Sarawak.

Sementara itu, Pegawai Hal Ehwal Korporat dan Pemasaran PSS, Imelda Sinai Anyie meminta orang ramai memanfaatkan program kesihatan itu.

“Kementerian amat menyokong penganjuran program ini dan kita menyeru orang ramai tanpa mengira usia termasuk pelbagai kumpulan kesihatan untuk turut serta.

“Melalui penganjuran ‘Rules of Fitness’ kita dapat menjadikan Sarawak sihat seterusnya meningkatkan produktiviti kalangan masyarakat.

“Selain itu, acara ini berpotensi mengembangkan faedah perkongsian peringkat tempatan dan antarabangsa melalui kecergasan dan sukan,” katanya.

Advertisement