Anda di sini

MATRADE sasar jualan RM450 juta di Caexpo 2018

Advertisement

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menyasarkan untuk mencapai jualan sebanyak RM450 juta pada Ekspo China-ASEAN  (Caexpo) 2018 di Nanning yang diadakan dari 12 -15 Sept ini.

Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Strategik MATRADE, Datuk Aureen Jean Nonis berkata MATRADE akan menjalankan proses pemilihan syarikat yang lebih ketat bagi penyertaan di ekspo tersebut berikutan ruang yang terhad di pavilion Malaysia.

“Kami perlu memilih syarikat yang dapat menawarkan produk yang berkualiti tinggi, perkhidmatan dan jenama dengan keupayaan yang tinggi untuk memanfaatkan pasaran besar China. Terdapat sebanyak 179 gerai pameran ditawarkan di pavilion Malaysia,” katanya pada sidang media mengenai Caexpo 2018 di sini semalam.

Jerayawara akan diadakan di tiga lokasi terpilih, iaitu Kuala Lumpur, Johor dan Sarawak mulai semalam hingga 25 April, bertujuan memberi pemahaman yang lebih baik dan maklumat  terperinci mengenai acara itu.

Aureen juga berkata acara tersebut tidak pernah gagal dalam mencapai matlamatnya untuk meningkatkan akses pasaran ke China melalui perkongsian pintar dengan negara ini.

Katanya peserta pameran Malaysia dan agensi kerajaan berjaya meraih jualan sebanyak RM405.50 juta pada  tahun lepas.

“China mempunyai ekosistem e-dagang yang maju dan pasaran e-dagang terbesar di dunia. Kami berharap syarikat Malaysia dapat memanfaatkan aktiviti e-dagang untuk meningkatkan eksport ke China.

“Program eTRADE kami untuk membantu syarikat berada di platform e-dagang seperti Alibaba.com, ule.com, jd.com, tmall.com dan sebagainya. Di Caexpo, syarikat akan mempunyai peluang untuk menemui pengendali platform yang sering mengunjunginya untuk mendapat produk yang baik,” katanya.

Pada tahun ini, MATRADE akan menganjurkan penyertaan daripada sektor makanan dan minuman, kesihatan dan kesejahteraan, gaya hidup, selain perkhidmatan terpilih seperti pendidikan, pelancongan perubatan dan logistik.

Sementara itu, Naib Setiausaha Agung Sekretariat Caexpo, Yang Yan Yan berharap China dan Malaysia akan terus meninjau peluang pelaburan, terutamanya dalam sektor pelancongan.

“Pengguna China amat menggemari produk Malaysia seperti durian dan ‘white coffee’. Kami turut berharap untuk meningkatkan sinergi bagi inisiatif Jalur dan Laluan, selain membantu Malaysia menarik lebih ramai pelabur antarabangsa dan pengunjung perdagangan berkualiti pada acara itu,” katanya.

Caexpo merupakan acara perdagangan utama di China.

Ia ditaja oleh kerajaan China dan negara-negara ASEAN dengan tujuan menggalakkan Perjanjian Perdagangan Bebas China-ASEAN dan peluang perniagaan di bawah inisiatif Jalur dan Laluan, terutamanya dalam perdagangan, pelaburan dan pelancongan.

Dari Januari hingga Februari tahun ini, jumlah perdagangan Malaysia dengan China meningkat sebanyak 7.9 peratus kepada RM46.54 bilion berbanding RM43.14 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun lepas.

Jumlah eksport Malaysia menyumbang sebanyak RM18.74 bilion, naik 3.3 peratus, manakala import meningkat 11.2 peratus kepada RM27.79 bilion.

Jumlah perdagangan dua hala berkembang sebanyak 20.6 peratus kepada RM290.65 bilion pada 2017 berbanding RM240.9 bilion pada 2016, manakala eksport menyumbang sebanyak RM126.15 bilion dan import sebanyak RM164.50 bilion. — Bernama

Advertisement