Anda di sini

10,000 meriahkan Konsert ‘Kita OK Bah’ di Kota Kinabalu

Advertisement
 Vokalis kumpulan Wings Awie membuat persembahan pada Konsert Kita Ok Bah malam Sabtu lepas. — Gambar Bernama
KEMUNCAK KONSERT: Vokalis kumpulan Wings Awie membuat persembahan pada Konsert Kita Ok Bah malam Sabtu lepas. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak adalah di antara kira-kira  10,000 orang yang hadir menyaksikan konsert Kita OK Bah di sini pada malam Sabtu lepas.

Konsert anjuran pergerakan media sosial kitaok.com, itu dihoskan Datuk AC Mizal dan menampilkan  kumpulan pemuzik seperti Masdor dan Hujan dengan penampilan kumpulan  Wings menjadi acara kemuncak konsert.

Salleh tiba kira-kira 8 malam dan turut menyertai hos selebriti di atas pentas semasa di peringkat awal konsert itu.

Malah beliau turut bergambar dengan orang ramai dan memberitahu penonton “malam ini kita ok”.

Seorang jurucakap pergerakan media sosial berkenaan berkata konsert itu adalah program pertama yang dianjurkan di luar Semenanjung bagi menyebarkan keceriaan dan keharmonian di kalangan masyarakat.

“Kita OK adalah satu pergerakan bagi mempromosikan sikap positif di kalangan orang ramai terutama apabila menggunakan akaun media sosial mereka.

“Kami menggalakkan mereka menggunakan hashtag #kitaok dalam catatan media sosial mereka bagi  menunjukkan kepada orang ramai bahawa apa juga yang dilalui, mereka boleh menganggap mereka  masih selamat dan baik-baik sahaja,” katanya.

Menurut jurucakap itu, kira-kira 500 juta catatan – imej dan ulasan di Facebook, Twitter dan Instagram telah ditandai dengan #kitaok sejak pergerakan itu diwujudkan pada Oktober tahun lepas untuk tidak menggalak-kan perkara yang negatif di kalangan netizen, yang akhirnya boleh membawa kepada penyalahgunaan platform media sosial yang tujuan asalnya untuk meng-hubungkan manusia dan merapatkan silaturahim.

“Kami tidak mempunyai kaitan politik. Kami rasa terpanggil untuk membawa orang ramai  untuk berkumpul bersama-sama secara positif dan penuh keceriaan,” katanya.

Selain laman web mereka, pergerakan itu terdapat di platform media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram dengan pegangan akaun @kitaoklah. — Bernama

Advertisement