Anda di sini

Sabah kotakan sasaran catat penamat menang

Advertisement
Skuad bawah 19 tahun Sabah merakamkan reaksi gembira selepas menang 2-1 ke atas Kuala Lumpur pada saingan Kumpulan A liga Piala Belia di Stadium Penampang pada Ahad.
Skuad bawah 19 tahun Sabah merakamkan reaksi gembira selepas menang 2-1 ke atas Kuala Lumpur pada saingan Kumpulan A liga Piala Belia di Stadium Penampang pada Ahad.

KOTA KINABALU : Skuad bawah 19  tahun Sabah mengalahkan Kuala Lumpur 2-1 untuk mengotakan sasaran menamatkan jadual pusingan pertama dengan kemenangan pada saingan Kumpulan A liga Piala Belia di Stadium Penampang petang Ahad.

Skuad bimbingan Mohd Aiyyman Johnny Abdullah itu bangkit dari ketinggalan 1-0 pada separuh masa dengan dua gol pada babak kedua.

Kuala Lumpur mendahului 1-0 pada separuh masa pertama hasil jaringan Mohd Faizal yang melepasi perangkap offside menyambar bola lorongan rakan untuk membuat penyudah mudah menewaskan penjaga gol Sabah, Joslan Aping dalam keadaan satu lawan satu pada minit ke-25.

Selepas rehat, Sabah bermula garang dan hanya perlukan tiga minit (minit ke-48) untuk mendapatkan  gol penyamaan menerusi sepakan percuma ketua pasukan, Mohd Syukri Baharun dari kawasan D petak penalti yang terus mencecah jaring.

Jaringan penyamaan itu menyemarakkan semangat Sabah tetapi gol kemenangan hanya terhasil pada masa kecederaan menerusi pemain gantian, Mohd Iqbal Kassim yang menyudahkan lorongan Syukri.

Kemenangan itu menyaksikan Sabah menamatkan 10 perlawanan pusingan pertama dengan 18 mata untuk naik ke tangga ketiga atau mungkin tangga kedua jika keputusan perlawanan antara PKNS FC dan Pulau Pinang berpihak kepadanya.

Sabah akan meneruskan cabaran pusingan kedua menentang Perak PKNP FC juga  di  stadium Penampang pada 25 April.

  • oleh
  • Advertisement