Anda di sini

Pengundi muda mahu ramai calon muda diketengahkan

Advertisement

KOTA KINABALU: Pencalonan orang muda sama ada daripada Barisan Nasional (BN) atau parti pembangkang sering menjadi topik perbincangan setiap kali menjelang pilihan raya umum.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ini juga sudah semestinya ada calon muda, cuma jumlahnya tidak dapat dipastikan sehinggalah parti yang bertanding pada pilihan raya ini mengumumkan senarai calon mereka.

Bagi Sabah, jumlah pemilih berdaftar adalah 1,117,337 dan kira-kira 40 peratus daripadanya adalah pengundi muda.

Melihat jumlah pengundi muda yang besar, maka ramai dalam kalangan pemimpin pemuda sama ada daripada BN atau parti pembangkang menuntut agar pucuk pimpinan parti mengetengahkan calon generasi muda pada PRU14 ini.

Antara pemimpin yang sering kali meminta pucuk pimpinan agar meletakkan lebih ramai calon muda pada PRU14 ini ialah Ketua Pemuda BN Khairy Jamaluddin dan Pengerusi Pemuda BN Sabah Yamani Hafez Musa.

Mereka berpendapat kombinasi calon berpengalaman dan muda pada PRU14 sangat penting untuk melahirkan serta mengasah bakat pemimpin muda bagi meneruskan kesinambungan parti serta menjayakan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Presiden Majlis Belia Sabah Nourman Rayn Awang Zaini berkata sudah tiba masanya untuk mengetengahkan muka baharu terdiri daripada golongan muda pada pilihan raya ini memandangkan perubahan dari segi demografik politik dan kecenderungan pengundi masa kini telah berubah.

“Sudah tiba masanya kita di Sabah ini menerima muka-muka baharu bagi mengukuhkan lagi sokongan golongan muda kepada kerajaan, selain membantu menyumbangkan idea segar dalam penggubalan dasar kerajaan negeri agar Sabah terus sejahtera dan bertambah maju.

“TN50 hanya akan menjadi retorik semata-mata sekiranya tiada perubahan drastik yang dilakukan, terutamanya meletakkan calon muda yang bakal diserapkan ke dalam Kabinet kerajaan kelak,” katanya kepada Bernama.

Nourman Rayn berkata bagi memastikan harat TN50 berjaya, kepimpinan terdahulu perlu menerima perubahan itu secara positif bahawa masa depan negara akan dikemudi oleh generasi muda hari ini.

Sementara itu, Presiden Persatuan Belia Inspirasi Kinabalu Abqaree Fawwaz Abekan berkata desakan dan permintaan sejak akhir ini bertiup kencang menggesa parti memerintah untuk mengetengahkan lebih banyak muka baharu terdiri daripada golongon muda.

“Di pihak pembangkang pula, kaedah ini telah lama diguna pakai bagi menawan hati sama ada pengundi tradisi ataupun pengundi baharu. Bagaimanapun, adakah ini mampu menjadi realiti atau hanya sebagai satu propaganda pilihan raya? Agar kedua-dua pihak tidak dapat membaca strategi yang diguna pakai,” katanya.

Abqaree Fawwaz berkata pengumuman calon  oleh parti yang bertanding pada PRU14 akan diadakan tidak lama lagi.

“Oleh itu ramai yang tertanya-tanya berapa ramai calon muda yang akan ditampilkan oleh parti bertanding dalam PRU14. Saya menjangkakan beberapa muka baharu daripada BN bakal mewarnai politik Sabah seperti Ketua Pemuda UMNO Sabah Yamani Hafez, Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Arthur Kurup, Ceasar Mandela Malakun daripada Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Ketua Pemuda UMNO Papar Datuk Armizan Ali dan Timbalan Ketua Pemuda GERAKAN Sabah Chan Tzun Hei,” katanya.

Justeru beliau berkata tidak dapat dinafikan kedudukan di dalam parti politik antara faktor utama pemilihan seseorang calon dan sebagai orang muda kedudukan calon ini kebiasaannya adalah sebagai sayap kepada parti tersebut.

Katanya, pemilihan calon orang muda pada PRU14 ini bergantung kepada beberapa faktor termasuk kesediaan penyandang untuk tidak lagi bertanding pada pilihan raya ini.

“Faktor utama yang sering menjadi keutamaan adalah kredibiliti calon muda itu sendiri. Tidak menjadi kesalahan sekiranya calon muda yang berkredibiliti, berketerampilan, disenangi pengundi serta memenuhi syarat untuk terpilih diletakkan sebagai calon, diketengahkan.

“Namun saya menjangkakan tidak banyak calon muda yang akan diketengahkan pada PRU14 ini disebabkan faktor pendesak yang kurang selain pengundi tradisi belum boleh menerima calon muda di kawasan mereka. Pencalonan orang muda ini merupakan kunci pelan peralihan pentadbiran bagi memastikan anak muda di Sabah tidak jauh ketinggalan, selain bersedia mentadbir negeri ini pada masa hadapan,” tambahnya. — Bernama

Advertisement