Anda di sini

Nora Danish kembali berlakon drama TV selepas Aidilfitri

Advertisement
 

PELAKON popular Nora Danish akan kembali beraksi dalam drama bersiri televisyen selepas Hari Raya Puasa, setelah lama tidak berlakon.

Nora Danish yang baru sahaja melahirkan cahayamata Ney Ney atau Mohamed Neqayl Nedim yang berusia dua bulan berkata beliau sudah lama tidak membuat kemunculan dalam kaca televisyen sehingga menimbulkan pertanyaan dalam kalangan peminatnya.

“Ramai juga yang tanya dah tak masuk TV ke? Jadi, inilah masanya Nora tunjuk yang Nora masih ada dalam industri ini… Nora akan sentiasa aktif dalam dunia lakonan sebab berlakon Nora punya ‘passion’, belum masanya untuk tinggalkan bidang lakonan,” kata selebriti berusia 36 tahun itu semasa perasmian salun kecantikan Karva Salon for Ladies by Nora Danish di Kuala Lumpur kelmarin.

Katanya filem dan drama bersiri mempunyai dua impak yang berbeza dari segi bilangan penonton di mana drama bersiri dapat dilihat secara meluas oleh semua lapisan masyarakat berbanding filem yang tidak semua akan menonton.

“Dari segi lakonan pula, kita mempunyai watak terlalu ‘limited’ tetapi kalau TV macam-macam kita boleh asah balik terutamanya dari segi bakat,” katanya, sambil menambah bahawa belum ada sebarang tajuk untuk drama bersiri tersebut setakat ini.

Nora juga berkata bahawa dirinya diberkati dengan suami, Nedim Nazri yang amat memahami dan mendorongnya dalam dunia lakonan, perniagaan serta membantunya dalam hal rumahtangga terutamanya dari segi menguruskan Ney Ney.

“Nora ingin menjadi seorang wanita yang berjaya, ibu dan isteri yang baik. Alhamdulillah, Nora ada seorang suami yang memahami dan selalu mendorong Nora untuk berjaya,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pusat kecantikan Karva, katanya salun khas untuk wanita di G Village, Ampang itu diusahakan bersama kakaknya Cathy Danish serta pengasas Karva Singapura Rozza Ramli.

“Ia sangat bersesuaian untuk wanita bertudung serta ibu-ibu yang inginkan keselesaan dan perkhidmatan eksklusif serta lokasi untuk mengadakan parti hari lahir, ‘bridal shower’ atau majlis istimewa yang lain,” katanya.

Salun tersebut yang turut dilengkapi beberapa bilik khas untuk pelanggan kenamaan itu menyedia-kan perkhidmatan kecantikan kuku dan rambut dengan harga bermula RM35 hingga RM875.

“Karva telah diperkenalkan buat pertama kali di Singapura pada tahun 2014 dengan tiga cawangan dan sekarang kami merancang untuk membuka lebih banyak cawangan di seluruh Malaysia dan Indonesia,” tambahnya.

— Bernama

Advertisement