Anda di sini

10 peniaga kecil PPR terima kiosk penjaja

Advertisement
Zakaria (tengah) merakam gambar bersama tetamu kehormat dan penerima kiosk penjaja serta penduduk PPR Taman Murni.
Zakaria (tengah) merakam gambar bersama tetamu kehormat dan penerima kiosk penjaja serta penduduk PPR Taman Murni.

SANDAKAN: Penyerahan kiosk penjaja kepada rakyat yang memerlukan, bukti kerajaan sentiasa menitikberatkan kerajaan selain bagi memastikan nasib mereka terjamin pada masa hadapan.

Naib Ketua Bahagian Umno Libaran Datuk Zakaria Haji Mohd Edris berkata, langkah itu bagi membantu penjaja kecil, sekali gus mengurangkan kadar kemiskinan dalam kalangan penduduk bandar dengan menglibatkan diri dalam aktiviti perniagaan.

"Penyerahan kiosk ini bertujuan membantu kumpulan miskin dan berpendapatan rendah di bandar untuk meningkatkan kualiti hidup di samping mengurangkan beban tanggungan keluarga.

"Oleh itu, kita berharap penduduk di Program Perumahan Rakyat (PPR) Taman Murni memanfaatkan sebaik mungkin kemudahan perniagaan yang telah disediakan oleh kerajaan untuk mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Ketua Menteri Tan Sri Musa Haji Aman dan menyempurnakan penyerahan kiosk penjaja berkenaan pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di PPR Taman Murni, di sini pada Jumaat.

Seramai 10 orang peniaga kecil di PPR Taman Murni Sandakan menerima kiosk penjaja di bawah Projek Program Pembasmian Kemiskinan Bandar, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Salah seorang penerima kiosk berkenaan, Norsidah Ak Entu, 30, berkata pemberian kiosk ini bukan sahaja memudahkan malah meringankan beban rakyat.

"Sebelum ada kiosk ini saya terpaksa berniaga di bawah unit rumah PPR ini dengan keadaan tidak teratur lagi. Sekarang bila ada kiosk ini memang memudahkan saya sebab tidak perlu bayar sewa dan keadaan kiosk yang kemas dan sesuai dengan peniaga kecil macam saya," katanya.

Jumatiah Abd Rahman, 44, seorang ibu kepada empat orang anak yang berniaga makanan dan minuman di kawasan PPR Taman Murni memberitahu beliau sangat bersyukur dengan kemudahan yang diberikan kerana dapat membantu mengurangkan kos perbelanjaan perniagaan setiap bulan.

"Pendapatan saya berniaga makanan dan minuman ini tidak banyak dan tidak mencecah RM1,000 dan selepas bayar sewa serta belanja bahan jualan memang tidak banyaklah pendapatan saya.

"Terima kasih kepada kerajaan kerana mengambil peduli nasib rakyat yang memerlukan perhatian seperti kami khususnya di kawasan PPR ini," katanya.

Bagi Zaherianah Noor Sofyana Zahil, 26, penyerahan kiosk ini juga bukti kerajaan amat mementingkan keperluan rakyat dan tidak pernah lalai untuk memastikan rakyat terbela dengan sewajarnya.

Dalam pada itu, Zakaria ketika berucap turut menyeru rakyat di daerah ini khasnya untuk terus taat menyokong barisan pemimpin parti Barisan Nasional (BN) agar mereka tidak pernah terlepas daripada menikmati kemajuan pembangunan yang dibawakan oleh kerajaan pada masa hadapan.

"Teruskan memberi sokongan dan mandat kepada BN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pasti banyak lagi pembangunan yang akan dapat dibawakan untuk rakyat nikmati kelak," katanya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Umno Bahagian Libaran Datuk Juslie Haji Ajirol, Bendahari Umno Bahagian Libaran Datuk Salzo Hj Asa, mantan Ahli Dewan Undangan Negeri Sukau Datuk Saddi Abd Rahman dan Ketua Puteri Umno Libaran Karmi Arifin.

  • oleh
  • Advertisement