
LABUAN: Skuad Tangan Bersalaman Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Labuan dan Persatuan Keluarga Polis (Perkep) telah membantu menjayakan Majlis Pelancaran Patrol Denggi 2018 Sekolah Kebangsaan Pekan Satu (SKPS).
Mereka yang terdiri daripada pegawai dan anggota serta ahli STB itu diketuai Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad.
Majlis perasmian Program Pemimpin Bersama Warga SKPS, Gotong-Royong Perdana dan Majlis Pelancaran Patrol Denggi 2018 disempurnakan oleh Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Haji Alias.
Turut hadir, Guru Besar SK Pekan Satu Anita Shyamini Azman, Ketua Unit Perhubungan, Pendaftran dan Pendidikan Swasta Zaliha Mohd Salleh, Pegawai
Perhubungan Sekolah ASP Mohd Amy Dazni Danial dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Zon 1 Tan Soon Kiat.
Sementara itu, Penolong Kanan HEM Noorlihan Abdul Alip selaku penyelaras program mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program itu.
Katanya, kehadiran 1,020 peserta membuktikan komitmen dan kesungguhan ibu bapa dan komuniti setempat untuk melihat SK Pekan Satu terus cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga kebersihan, keceriaan dan keselamatan.
Beliau tidak lupa mengucapkan terima kasih atas kerja keras 84 guru, 12 staf dan 323 murid Tahap Dua yang turut membantu menjayakan program itu.
“SK Pekan Satu mahu menjadi sekolah yang terbaik bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga ceria, selamat dan bersih. Dengan cara itu sahaja akan menarik minat murid dan guru datang ke sekolah pada setiap hari,” katanya.
Sementara itu, Bashir memuji dan kagum dengan penglibatan PDRM yang sentiasa membantu menjalankan khidmat kepada masyarakat setempat.
