Anda di sini

Peruntukan RM30 juta kepada pertubuhan setiap tahun

Advertisement
 Radin, Edward, Rubin dan Madiyem bersama pemimpin masyarakat Cina menghadiri Majlis Ramah Mesra 2018 anjuran Gabungan Persatuan-Persatuan Cina Daerah Tenom.
ADA PERUNTUKAN: Radin, Edward, Rubin dan Madiyem bersama pemimpin masyarakat Cina menghadiri Majlis Ramah Mesra 2018 anjuran Gabungan Persatuan-Persatuan Cina Daerah Tenom.

TENOM: Kerajaan negeri memperuntukkan lebih RM30 juta setiap tahun kepada pelbagai pertubuhan termasuklah institusi pendidikan Cina.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Panglima Radin Malleh berkata, ia membuktikan bahawa kerajaan tidak sesekali meminggirkan keperluan masyarakat Cina termasuk kaum lain di negeri ini.

“Kerajaan juga sentiasa menghargai peranan dan sumbangan masyarakat Cina dalam pembangunan negara ini khususnya mengenai kejayaan yang dikendalikan oleh masyarakat Cina untuk melahirkan warganegara Malaysia yang cemerlang dalam pelbagai bidang sosioekonomi.

“Selain itu, kerajaan sentiasa berusaha memastikan semua hak dan kebebasan rakyat berbilang kaum sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Malaysia dan Rukun Negara haruslah dipertahankan pada setiap masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Ramah Mesra 2018 anjuran Gabungan Persatuan-Persatuan Cina Daerah Tenom, di Dewan Antenom Tenom di sini pada Selasa.

Pada masa sama, Radin yang juga naib presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) berharap agar masyarakat Cina di negeri ini khususnya di daerah ini dapat menyokong penuh kepimpinan BN pada pilihan raya yang akan datang ini demi kesinambungan pembangunan.

“Saya berharap rakyat khasnya masyarakat Cina, khususnya ahli Gabungan Persatuan-Persatuan Cina di Tenom, agar bijak menilai dan tidak mudah terpengaruh dengan pelbagai hasutan pihak tertentu terutamanya parti pembangkang yang muncul menabur janji bila musim pilihan raya sahaja, dan menghilangkan diri selepas musim pilihan raya,” katanya.

Hadir sama, Naib Presiden PBS Datuk Edward Yong Oui Fah, Pengerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sabah Datuk Raime Unggi, Ketua bahagian UMNO Tenom Datuk Rubin Balang, Ketua Pemuda UMNO Tenom Jamawi Jaafar dan Pengawai Daerah Tenom Madiyem Layapan.

Advertisement