Anda di sini

Lahirkan lebih ramai cendikiawan

Advertisement
ARIFIN menyampaikan anugerah pelajar cemerlangan kepada salah seorang pelajar sempena majlis
Arifin menyampaikan anugerah pelajar cemerlangan kepada salah seorang pelajar sempena majlis itu.

MEMBAKUT: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Arifin Arif menggesa pihak sekolah mengadakan program atau bengkel penulisan bagi melahirkan lebih ramai cendikiawan di masa hadapan.

Beliau berkata, bagi merealisasikan hasrat itu, ia perlulah bermula di peringkat sekolah agar dapat mencungkil bakat mereka seterusnya mengasahnya supaya mereka dapat pergi ke tahap yang lebih jauh.

Jelasnya, tidak ramai yang menyedari potensi anak-anak muda di peringkat sekolah rendah mahupun menengah justeru perlu ada usaha dari pihak sekolah untuk mengasah bakat terpendam yang dimiliki mereka.

"Saya meminta agar pihak sekolah mewujudkan satu program atau bengkel penulisan di sekolah-sekolah supaya dapat mengenalpasti mana-mana pelajar yang memiliki bakat dalam penulisan.

"Selain fokus pihak sekolah untuk melahirkan para pelajar yang cemerlang dalam akedemik dan kokurikulum, kita juga mahu sekurang-kurangnya mereka memiliki kelebihan dalam penulisan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Kecemerlangan Pelajar (MaKeP) di Dewan Seri Gemilang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Membakut II pada Khamis.

Dalam pada itu, Arifin yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut meminta seluruh pelajar khususnya SMK Membakut II agar terus berusaha meningkatkan prestasi dalam pelajaran.

Tegas beliau, pendidikan adalah kunci kepada segalanya dalam kehidupan masa kini memandangkan zaman masa kini amat mencabar dan penuh dengan persaingan.

Katanya, pendidikan bukan sahaja menjamin masa depan pelajar yang cerah tetapi pada masa sama secara tidak langsung menyumbang kepada pembangunan masayarakat, negeri serta negara.

"Kita memerlukan generasi yang berpendidikan di masa hadapan bagi mendepani cabaran dunia yang tidak menentu. Justeru, mereka perlu melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan bagi membolehkan kita membangunkan negara dengan acuan kita sendiri," katanya.

Sebahagian yang hadir pada majlis itu.
Sebahagian yang hadir pada majlis itu.
  • oleh
  • Advertisement