Anda di sini

Kursus Tahsin al-Quran dan Kem Bestari Solat siri 2

Advertisement
Sulaiman bergambar kenangan dengan para peserta.
Sulaiman bergambar kenangan dengan para peserta.

LAHAD DATU: Persatuan Etnik Idahan Sabah (PEIS) melalui Biro Agama dengan kerjasama AJK Masjid Nurul Makhdum, KRT Sapagaya dan KRT Sapagaya Hilir telah  menganjurkan Kursus Tahsin al-Quran dan Kem Bestari Solat siri 2 yang julung-julung kali diadakan di Kg Sapagaya, di sini.

Pengerusi Masjid Nurul Makhdum Hj Sulaiman Pg Atok berkata, Tahsin al-Quran dan Kem Bestari Solat adalah program siri jelajah ke seluruh perkampungan etnik Idahan setiap tiga bulan.

Jelasnya, ia bagi meningkatkan kefahaman di dalam bidang agama khususnya kepada generasi muda dengan menampilkan beberapa penceramah yang hebat dan berpengetahuan luas dalam bidang masing-masing seperti Ustaz Hj Abu Hurairah, Ust Mohd Noh Abdul dan lain-lain lagi.

Sementara itu, Presiden PEIS Abdul Karim Hj Dakog berpuas hati dengan penyertaan serta sambutan program yang amat menggalakan itu.

Lebih-lebih lagi, para peserta adalah terdiri daripada generasi muda dan ia sekaligus menggalakkan anak-anak muda masa kini untuk terus mendampingi serta menghayati program keagamaan demi kesejahteraan kehidupan dunia dan akhirat.

“Saya merasa amat gembira dengan penyertaan lebih 100 orang yang datang dari setiap kampung etnik Idahan serta mendapat kerjasama yang padu daripada penduduk dan pemimpin Kg Sapagaya," katanya sambil berharap agar program itu dapat menarik minat lebih ramai belia di masa akan datang.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Daerah Lahad Datu OKK Hj Amat Hj Paduka Kaoh, Setiausaha Kehormat PEIS Rasmi Johan serta Pengarah Program Tahsin al-Quran dan Kem Bestari Solat PEIS Ust Mohd Dzul Khairi Mohd Noh.

  • oleh
  • Advertisement