Anda di sini

Kumpulan Sebangga bantu martabat budaya KDM

Advertisement
Arif (empat kanan) menyampaikan cek replika kepada John (tiga kanan), sambil disaksikan oleh ahli jawatankuasa KDCA yang lain.
Arif (empat kanan) menyampaikan cek replika kepada John (tiga kanan), sambil disaksikan oleh ahli jawatankuasa KDCA yang lain.

KOTA KINABALU: Kumpulan Sebangga akan memberi sumbangan berterusan kepada Persatuan Kebudayaan Kadazan-Dusun (KDCA) bagi penganjuran Pesta Kaamatan peringkat negeri.

Pengerusi Kumpulan AA Capital Datuk Arif Ambrose Ng berkata pemberian sumbangan itu bertujuan membantu meringankan bebanan kewangan persatuan berkenaan yang berdepan dengan keperluaan kewangan yang tinggi.

Beliau berkata usaha ini juga sebagai inisiatif Kumpulan Sebangga untuk sama-sama membantu KDCA memelihara dan memartabatkan budaya masyarakat Kadazan Dusun supaya ia tidak hilang ditelan zaman.

Katanya, budaya masyarakat tempatan perlu dipelihara bagi memastikan golongan muda tidak lupa budaya warisan mereka.

Oleh itu, beliau berharap lebih ramai syarikat swasta akan tampil ke hadapan untuk membantu mempromosikan budaya masyarakat Sabah kepada dunia luar.

Arif berkata selain sumbangan itu, mereka juga turut melaksanakan banyak program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) di Sabah dan Sarawak sepanjang dua tahun mereka beroperasi di Sabah.

Sempena sambutan Pesta Kaamatan pada tahun ini, Kumpulan Sebangga menyumbangkan RM 100,000 kepada KDCA. Malah, mereka turut menaja kenderaan rasmi Unduk Ngadau peringkat Negeri pada tahun ini.

Kumpulan Sebangga adalah pengedar rasmi bagi kereta jenama Subaru untuk Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Mengenai persiapan penganjuran Pesta Kaamatan 2018, Setiausaha Agung KDCA Datuk John Anthony berkata semua persiapan berjalan lancar untuk pelancaran dan juga acara kemuncak pada 30 & 31 Mei ini.

Setiap tahun KDCA memerlukan perbelanjaan yang tinggi dalam penganjuran acara tahunan itu. Walaupun Kerajaan Negeri memberi sumbangan namun, bantuan pihak swasta seperti Kumpulan Sebangga ini amat dialu-alukan dan dihargai.

Katanya perbelanjaan yang diperlukan lebih RM 1.2 juta setiap tahun untuk penganjuran Pesta Kaamatan ini.

Bagi acara Unduk Ngadau, tahun ini akan memperlihatkan penglibatan 46 buah daerah termasuk satu kawasan baharu iaitu Pulau Pinang.

  • oleh
  • Advertisement