Anda di sini

45 keluarga terlibat pembesaran Sungai Putatan mohon diberi rumah kekal

Advertisement
 Paul (tengah) bersama Jawatankuasa Bertindak Kampung Baru/Dambak yang terlibat dengan projek menaik taraf dan pembesaran Sungai Putatan.
MOHON RUMAH: Paul (tengah) bersama Jawatankuasa Bertindak Kampung Baru/Dambak yang terlibat dengan projek menaik taraf dan pembesaran Sungai Putatan.

PUTATAN: Sebanyak 45 keluarga yang terlibat dengan projek pembesaran Sungai Putatan memohon supaya kerajaan menyediakan rumah kekal untuk mereka sebelum projek itu dimulakan.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Baru/Dambak yang terlibat dengan projek menaik taraf dan pembesaran sungai berkenaan, Paul Nointien telah meminta kerajaan sedia ada untuk menghentikan projek itu yang turut memasuki Kampung Baru/Dambak sehingga isu tempat tinggal (rumah) melibatkan keluarga terbabit diselesaikan.

“Kehidupan mereka ini amat terjejas,” katanya dan menambah, beberapa penyelesaian telah diambil termasuk dialog dengan Jabatan Pengairan dan Saliran, pemimpin tempatan (Datuk Dr Marcus Mojigoh) dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Moyog Datuk William Sampil yang juga bekas Pegawai Daerah Penampang serta wakil daripada Jabatan Tanah dan Ukur dan Pejabat Daerah Penampang.

“Kami telah mengutarakan keluhan penduduk terlibat berikutan projek pembesaran sungai berkenaan. Aspek paling penting yang bincangkan ialah cadangan untuk membentuk jawatankuasa pemandu, yang mana belum lagi ditubuhkan sehingga hari ini,” katanya.

Paul berkata, ahli jawatankuasa itu seharusnya terdiri daripada pegawai daerah, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Tanah dan Ukur.

“Mereka sepatutnya mengkaji isu dan keperluan untuk diselesaikan, tetapi malangnya jawatankuasa itu tidak pernah ditubuhkan,” katanya.

Oleh kerana pihak berkuasa membisu, beliau berkata Jawatankuasa Bertindak Kampung Baru/Dambak yang terlibat dengan projek menaik taraf dan pembesaran Sungai Putatan memutuskan untuk menulis surat kepada Jabatan Pengairan dan Saliran untuk mengingatkan jabatan itu tentang isu yang telah dibangkitkan dalam dialog itu.

Menurutnya, surat berkenaan telah dihantar pada awal Disember tahun lalu dan sekali lagi tidak ada tindakan positif diambil.

Paul berkata, pada 24 Januari tahun ini, jawatankuasa bertindak itu telah mengadakan satu lagi dialog dan kali ini dengan pegawai daerah Penampang bagi menyelesaikan isu penempatan semula untuk penduduk kampung terlibat.

Dialog itu mencadangkan bahawa penduduk kampung terlibat boleh menggunakan perumahan PPR di Kibabaig, Penampang untuk sementara.

“Tetapi perumahan ini bukan percuma. Ia untuk disewa secara bulanan. Kesemua penduduk yang terlibat menolak cadangan itu kerana mereka adalah petani dan nelayan, bergantung kehidupan kepada pertanian dan sumber laut.

“Lagipun, tidak ada jaminan mereka diberikan penempatan semula kerana pihak berkuasa tidak dapat menyelesaikan isu yang mereka bangkitkan,” katanya.

Menurut Paul, penduduk terlibat tidak menolak sebarang pembangunan yang dilaksanakan kerajaan tetapi kebajikan mereka harus diambilkira.

Katanya, penduduk terlibat seharusnya diberi tapak untuk tinggal di kampung yang sama atau kerajaan menyediakan mereka rumah untuk didiami.

“Isu ini mesti diselesaikan dahulu sebelum mereka dipaksa berpindah. Rumah yang mereka diami sekarang hanya boleh dirobohkan apabila mereka mendapat rumah baharu,” katanya.

Selain itu tambahnya, tanah perkuburan antara yang tertua di kampung itu juga akan turut terjejas dengan projek pembesaran Sungai Putatan.

Sementara itu, seorang penduduk berkata ia adalah kali kedua penduduk Kampung Baru/Dambak dipaksa berpindah ekoran projek sungai berkenaan.

Advertisement