KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah membekukan cuti kepada anggota dan semua pegawai bermula 21 April sehingga 17 Mei 2018.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Dato' Soiman Jahid berkata, mereka telah diarah untuk bertugas sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
"Anggota dan semua pegawai tidak dibenarkan cuti dan tidak dibenarkan keluar ke luar negara. Mereka diarah untuk berada di kawasan masing-masing, kecuali perkara yang kritikal," katanya.
Beliau berkata, antara tugasan yang dilaksanakan ialah pemeriksaan keselamatan kebakaran dan keselamatan bangunan bagi bangunan yang digunakan sebagai pusat mengundi dan pusat pengiraan undi di seluruh negara.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan seminar mengenai kesan cuaca dan alam sekitar terhadap strategi keselamatan kebakaran anjuran Institute of Fire Engenering cawangan Malaysian dan JBPM Negeri Sabah, bertempat di Magellan Sutera Harbour Resort, di sini pada Khamis.
Soiman berkata, pada tahun ini semua pegawai dan anggota yang mengundi di luar kawasan bertugas akan mengundi secara pos dan ia akan dilaksakana lebih awal pada 5 Mei 2018.
"Kira-kira 12,000 anggota bomba terlibat dengan pengundian secara pos di seluruh negara," katanya.
Sementara itu, Soiman memberitahu bahawa JBPM telah menubuhkan pasukan penyelamat dan mencari sempena Kinabalu Climbathon 2018 yang akan diadakan pada Sabtu ini.
Menurutnya, seramai 40 malim gunung telah dilantik menjadi anggota penyelamat dan mencari Pasukan Bomba Bantuan (PBB).
"Fungsinya adalah untuk memberi bantuan kecemasan sekiranya berlaku kecemasan kepada peserta yang turut disertai atlet antarabangsa," katanya.