Anda di sini

Jheains tambah SAN Integrasi

Advertisement
MURID SAN Integrasi berpeluang berbual mesra bersama Arifin semasa lawatan ke kelas.
MURID SAN Integrasi berpeluang berbual mesra bersama Arifin semasa lawatan ke kelas.

KOTA KINABALU: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) menyasarkan menambah bilangan Sekolah Agama Negeri (SAN) Integrasi di setiap bahagian seluruh negeri.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, sekurang-kurangnya setiap tahun ada tambahan satu SAN Integrasi bagi setiap bahagian.

"Jheains sudah memaklumkan tentang rancangan penambahan ini dan kita akan mulakan di Beaufort.

"Kita akan mencari mana-mana SAN yang sesuai untuk dijadikan SAN Integrasi di kawasan berkenaan," katanya selepas majlis perasmian SAN Integrasi di sini pada Rabu.

Beliau berkata, SAN Integrasi di Sabah adalah yang pertama di Malaysia memperkenalkan tiga kokurikulum (kokum) termasuklah agama, akademik dan tahfiz.

Arifin berkata, SAN Integrasi Kota Kinabalu bakal menjadi SAN Integrasi sepenuhnya pada 2023 dan SAN Integrasi Putatan pada 2021.

"Istimewanya murid-murid SAN Integrasi, mereka turut diberi bimbingan hafazan dari peringkat awal.

"Murid-murid ini juga mampu menghafaz ayat-ayat al-Quran yang panjang dan susah. Ini juga sesuatu yang amat mengagumkan kita," jelasnya.

Menurutnya, SAN Integrasi turut menjaga kualiti pendidikan menerusi kerjasama antara Jheains dan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS).

Katanya, kepakaran JPNS akan memantau dari sudut linus dan pemulihan agar aspek pendidikan arus perdana turut diterapkan dalam SAN Integrasi Jheains.

Setakat ini katanya, SAN Integrasi di Sabah mempunyai guru seramai 18 orang termasuk 12 guru SAN Integrasi Putatan dan enam lagi SAN Integrasi Kota Kinabalu.

Turut hadir, Pengarah Jheains Yusof Abd Abbas.

  • oleh
  • Advertisement