Anda di sini

Jambatan Matang-Stapok dinamakan Jambatan Tan Sri Sulaiman Daud

Advertisement
Abang Johari (empat kiri) memotong reben sebagai simbolik perasmian jalan dan Jambatan Tan Sri Sulaiman Daud di Kuching hari ini. - Gambar Chimon Upon
Abang Johari (empat kiri) memotong reben sebagai simbolik perasmian jalan dan Jambatan Tan Sri Sulaiman Daud di Kuching hari ini. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Jalan raya baharu empat lorong dari bulatan Emart, Matang dan jambatan merentasi sungai Sarawak menghubungkan Stapok, Batu Kawa di sini dibuka secara rasmi kepada umum hari ini. 

Perasmian itu disempurnakan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada satu majlis di Metrocity berhampiran lokasi jalan dan jambatan tersebut.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri James Masing merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pengangkutan; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof serta lain-lain.  

Dalam ucapan perasmiannya, Abang Johari berkata pembukaan jalan dan jambatan ini salah satu perkara yang dijanjikan oleh kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) dan ditunaikan sebelum PRU14. 

"Jalan dan jambatan ini sudah pasti akan memberi manfaat kepada penduduk di Matang dan juga Petra Jaya termasuk mereka di Batu Kawa. 

"Saya juga mengumumkan jambatan ini dinamakan Jambatan Tan Sri Sulaiman Daud sebagai menghargai jasa Allahyarham kepada rakyat di kawasan ini," katanya.  

Jalan sepanjang 4.4 kilometer (km) serta jambatan sepanjang 320 meter ini mula dibina pada April 2015 dengan kos RM145 juta dan mula dibuka kepada umum pada 14 April lepas sebelum pembukaan rasmi hari ini. 

Pembukaan jalan dan jambatan ini secara tidak langsung memberikan satu lagi laluan alternatif kepada pengguna selain memudahkan serta memendekkan lagi perjalanan pengguna dari kedua-dua kawasan ini. 
 

  • oleh
  • Advertisement