Anda di sini

BRT pilihan terbaik kurangkan kesesakan di kota kinabalu

Advertisement

KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan percaya sistem Bas Rapid Transit (BRT) adalah pilihan terbaik pada masa ini untuk mengurangkan kesesakan trafik terutamanya di kawasan Kota Kinabalu.

Beliau berkata meskipun penambahbaikan jaringan sistem bas mini turut penting namun, selepas menjalankan pelbagai kajian di bawah Unit Perancangan Ekonomi dan agensi-agensi berkaitan, BRT didapati pilihan terbaik untuk mengurangkan kesesakan trafik.

“Sistem bas mini bukan sahaja menyelesaikan kebolehgantungan, ketepatan waktu atau keselesaan kepada pengguna malah menyelesaikan masalah kesesakan selain memastikan bas-bas itu tidak terperangkap di tengah-tengah kesesakan trafik,” katanya.

Abdul Rahman berkata demikian semasa mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Junz Wong kononnya parti itu berupaya menawarkan penyelesaikan kepada masalah kesesakan trafik di kawasan Kota Kinabalu dan Sepanggar melalui penambahbaikan sistem bas mini.

Wong turut menuduh Abdul Rahman sebagai tidak memahami rintihan rakyat Sabah yang menggunakan bas mini sebagai pengangkutan harian.

Abdul Rahman berkata Barisan Nasional (BN) sentiasa menyediakan penyelesaian kepada sebarang permasalahan rakyat berbanding parti  Warisan, yang sering merungut tanpa mempunyai sebarang penyelesaian alternatif yang boleh digunapakai membantu rakyat Sabah.

“Memang benar rakyat Sabah perlu ‘melabur’ dalam bentuk tambang yang lebih tinggi untuk mereka menikmati sistem pengangkutan awam yang lebih baik, tapi yakinlah bahawa kerajaan akan memastikan tambang BRT dalam kemampuan rakyat Sabah,” katanya.

Selain  BRT, kerajaan juga meluluskan perluasan jalan raya antara simpang Indah Permai ke Yayasan Sabah dan terus ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah bagi mengurangkan kesesakan trafik sepanjang jalan berkenaan.

Beliau juga kesal kerana ketika rakyat Sabah bersedia dan teruja untuk maju ke hadapan dengan sistem pengangkutan awam yang baharu ini namun, pada masa sama, Wong dan partinya tidak pasti dengan rancangan untuk rakyat Sabah. — Bernama

Advertisement