Anda di sini

400 ahli parti pembangkang sertai BN

Advertisement
Musbah (tengah) dan Santaim (kiri musbah) bersama yang lain menerima kemasukan 400 ahli parti pembangkang ke dalam BN.
Musbah (tengah) dan Santaim (kiri musbah) bersama yang lain menerima kemasukan 400 ahli parti pembangkang ke dalam BN.

KOTA BELUD: Kira-kira 400 ahli parti pembangkang di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Rosok di sini, keluar parti dan menyertai Barisan Nasional (BN).

Kemasukan bekas ahli PKR, Warisan dan Star yang diketuai oleh Santaim Gontiung itu telah diadakan sempena Majlis Menyatukan KDM Mukim Rosok Bangkahak, yang diterima oleh Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Musbah Haji Jamli di Kampung Bambangan, di sini pada Selasa.

Musbah berkata, penyokong pembangkang lain khususnya di daerah ini seharusnya mengikuti jejak yang dilakukan oleh sekumpulan ahli parti pembangkang berkenaan yang telah menyertai BN demi masa depan yang cerah bagi generasi akan datang mereka.

Beliau yang juga pengarah Pilihanraya DUN Tempasuk dan Kadamaian menyifatkan tindakan mereka sebagai pengundi yang bijak dalam membuat pilihan terbaik pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Katanya, pilihan yang tepat amat penting bagi memastikan daerah ini terus dibangunkan dan rakyat menikmati pelbagai manfaat.

“Di bawah kepemimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Tan Sri Musa Haji Aman, pelbagai usaha pembangunan infrastruktur dan prasarana luar bandar telah dilaksanakan untuk membela nasib rakyat di luar bandar.

“Kita sungguh yakin di bawah kerajaan Barisan Nasional, Kota Belud akan terus dibangunkan tetapi jika memilih pembangkang kita khuatir kawasan kita di sini juga tidak dapat dibangunkan,” katanya.

Sementara itu, Santaim berkata mereka keluar parti pembangkang dan menyertai BN kerana tidak lagi yakin dan percaya kepada kepemimpin pembangkang yang bermusim, bersifat datang dan pergi apabila menjelang pilihan raya.

“Tindakan kami keluar daripada parti pembangkang secara beramai-ramai ini adalah secara waras demi untuk masa depan yang cerah bagi anak-anak kami,” jelasnya.

Advertisement