Anda di sini

Sektor pembuatan perlu guna pakai pengilangan pintar, robotik, automasi

Advertisement
 Awang Tengah menerima cenderamata daripada Abang Karim (kiri) sambil disaksikan Menteri Muda Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais (kanan) selepas majlis perasmian.
TERIMA KASIH: Awang Tengah menerima cenderamata daripada Abang Karim (kiri) sambil disaksikan Menteri Muda Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais (kanan) selepas majlis perasmian.

KUCHING: Sektor pembuatan di Sarawak perlu mengguna pakai pengilangan pintar dan menggunakan robotik serta automasi untuk kekal kompetitif dalam persekitaran perniagaan.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian dan Usahawan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, ia sekali gus mampu meningkatkan produktiviti dan kecekapan perniagaan untuk berkembang.

“Ini adalah selaras dengan inisiatif ekonomi digital, di mana kerajaan negeri ingin mentransformasikan sektor perindustrian kepada Revolusi Industri (RI) 4.0 yang menjana pertumbuhan ekonomi negeri.

“Sehubungan itu, beberapa syarikat berteknologi tinggi seperti LONGi dan X-FAB di Taman Teknologi Tinggi Sama Jaya adalah berada pada landasan yang baik bagi memanfaatkan teknologi digital serta bergerak ke arah RI 4.0,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Seminar Mengenai Blueprint Produktiviti Malaysia bagi sektor pembuatan yang dianjurkan Perbadanan Produktiviti Malaysia dan Persekutuan Perniagaan Sarawak (SBF) dan dihadiri Presiden SBF Datuk Abang Abdul Karim Tun Openg di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Tambah Awang Tengah, Sarawak tidak boleh terus bergantung kepada strategi kos rendah, teknologi rendah dan buruh intensif bagi pertumbuhan ekonomi.

Jelasnya ia kerana untuk melangkah ke hadapan dengan menjadi negeri ekonomi berpendapatan tinggi melalui perindustrian, ia harus memanfaatkan ekonomi digital sebagai wadah melonjak ekonomi ke peringkat seterusnya.

“Kerajaan juga serius dalam membangunkan modal insan dengan menubuhkan Perkampungan Digital di Sama Jaya dan inkubator di seluruh negeri untuk memupuk kreativiti, inovasi dan teknologi.

“Pada masa yang sama akan menubuhkan lebih banyak institut latihan seperti Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) serta pusat latihan industri lain untuk melatih dan meningkatkan kemahiran tenaga kerja kita bagi memenuhi permintaan industri yang semakin meningkat,” katanya.

Beliau berharap pada masa yang sama lebih banyak majikan di negeri ini memberi keutamaan kepada tenaga kerja tempatan.

Katanya sebagai contoh, Taman Perindustrian Teknologi Tinggi Sama Jaya dianggarkan mempunyai 10,800 pekerja dengan kadar 98 peratus adalah rakyat Sarawak.

Sementara itu Abang Karim dalam ucapannya berkata, objektif seminar yang diadakan untuk mengetengahkan kepentingan Blueprint Produktiviti Malaysia.

“Blueprint Produktiviti Malaysia menyasarkan untuk meletakkan peningkatan produktiviti sebagai agenda utama pembangunan negara.

“Selain itu juga untuk menekankan isu serta cabaran produktiviti selain membangunkan strategi untuk peningkatan, inisiatif serta program di peringkat negara, sektor dan perusahaan,” katanya.

Menurut beliau lebih 200 peserta termasuk pegawai daripada agensi kerajaan negeri dan persekutuan, wakil industri pembuatan serta universiti menyertai seminar berkenaan.

Advertisement