
RANAU: Sabah beruntung dalam era kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana banyak peruntukan pembangunan termasuk dalam sektor pendidikan disalurkan ke negeri ini semenjak beliau menerajui pentadbiran negara, kata Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman.
Musa berkata keprihatinan Najib terserlah tidak hanya kepada Sabah tetapi juga Sarawak apabila perdana menteri sentiasa peka untuk menyalurkan peruntukan jutaan ringgit setiap tahun kerana menyedari kedua-duanya adalah negeri besar dan memerlukan peruntukan banyak bagi pembangunan.
Mengambil contoh peruntukan RM1 bilion membaiki sekolah daif di Sabah, Musa berkata, belum pernah ada perdana menteri dan menteri kewangan sebelum Najib memberi peruntukan besar seperti itu, namun, dalam era Najib, sektor pembangunan pendidikan Sabah semakin diberi perhatian.
“Sebagai ketua menteri, saya sedar bahawa kita memerlukan pembangunan ini. Dalam era Perdana Menteri Datuk Seri Najib (Tun Razak) adalah era yang untung (untuk Sabah) kerana permintaan (peruntukan) kita diberikan bagi membantu rakyat termasuk dalam pendidikan.
Peruntukan (RM1 bilion membaiki sekolah daif di Sabah) itu bukan sikit tetapi perdana menteri memberi peruntukan tersebut. Beliau adalah seorang perdana menteri berjiwa besar,” katanya berucap merasmikan Sambutan Hari Guru peringkat negeri di Kompleks Sukan Ranau, di sini, hari ini.
