
KOTA KINABALU:Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman berkata kerajaan negeri komited dalam memastikan kestabilan terus terpelihara dan berterusan di Sabah bukan sahaja dalam aspek politik tetapi juga ekonomi dan sosial.
Musa berkata penekanan kerajaan negeri terhadap kestabilan berterusan adalah untuk memastikan rakyat di seluruh Sabah termasuk di luar bandar terus mendapat manfaat daripada program pembangunan yang dilaksanakan dalam sektor pertanian, pelancongan, pembuatan dan pembangunan modal insan.
“Matlamat kita ialah untuk meningkatkan taraf hidup rakyat dan memastikan momentum pembangunan terus berjalan dengan lancar. Alhamdulillah setakat ini, usaha-usaha pembangunan kita dapat meningkatkan kesejahteraan rakyat seterusnya merapatkan lagi jurang kehidupan antara bandar dan luar bandar.
"Saya harus katakan, bahawa Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) prihatin sangat dengan Sabah kerana Sabah ini adalah negeri kedua terbesar di Malaysia. Jadi sudah tentu kita memerlukan peruntukan besar kerana banyak pembangunan ingin kita jalankan.
"Seperti yang sering saya katakan, bahawa pencapaian kita ini adalah hasil sokongan padu dan kerjasama yang mantap semua pihak termasuklah rakan-rakan dalam Jemaah Menteri, pemimpin parti komponen, penjawat awam, sektor swasta dan rakyat secara keseluruhannya," katanya.-Bernama