
KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal yang melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal, dikenakan denda RM6,000 dan penjara sehari oleh Mahkamah Majistret di sini.
Majistret Stephanie Sherron Abbie menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Riezal Kamarudin, 20, selepas mengaku bersalah.
Jika tertuduh gagal membayar denda berkenaan, penjara selama tempoh tiga bulan dikenakan.
Tertuduh menunggang motosikal secara melulu dan laju, tanpa mengambil kira keadaan jalan yang boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain.
Kesalahan dilakukan pada 17 Februari jam 3.30 pagi di Jalan Kota Kinabalu-Papar, dekat Taman Jumbo Petagas.
Muhammad Riezal didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, penjara selama tempoh lima tahun atau denda antara RM5,000 hingga RM15,000.
