Anda di sini

Rohani harap 30 peratus calon BN adalah wanita

Advertisement
 Rohani pada sidang media di KLIA di Sepang semalam. — Gambar Bernama
SIDANG MEDIA: Rohani pada sidang media di KLIA di Sepang semalam. — Gambar Bernama

SEPANG: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim berharap 30 peratus calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) adalah calon wanita.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata setiap pengerusi parti komponen BN juga telah dimaklumkan supaya mempertimbangkan wakil wanita untuk bertanding pada PRU14.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) sen-diri telah mengambil langkah untuk memaklumkan kepada setiap pengerusi parti komponen untuk melihat pertambahan calon wanita,” katanya pada sidang media di Lapa-ngan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini semalam.

Ditanya mengenai maklum balas daripada parti-parti komponen BN mengenai perkara itu, katanya kebanya-kan daripada mereka memberikan reaksi positif, namun keputusan akhir hanya akan diketahui pada hari penamaan calon PRU14 nanti.

“Kali ini, saya dengar ramai (calon wanita) tetapi saya tidak dapat pastikan. Saya fikir mereka (parti komponen BN) akan melakukan yang terbaik kerana ia juga bergantung kepada kesediaan wanita itu sendiri (menjadi calon),” katanya.

Rohani berkata beliau juga telah mengarahkan Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) untuk membuat kajian mengenai jumlah calon wanita yang terpilih dan mereka yang berjaya memenangi kerusi yang ditandingi pada PRU14.

“Daripada angka pencalonan dan angka yang menang, kita akan tengok (trend) pengundi. Mungkin pengundi belum bersedia (pilih calon wanita) dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata sebuah se-kretariat khas juga telah dibentuk di bawah JPW untuk membuat kajian itu dan hasilnya akan dikongsi bersama bagi merancang pelan seterusnya dalam usaha memperkasakan wanita dalam arena politik.

Pada PRU13, sebanyak 168 orang atau lapan peratus daripada keseluruhan 1,900 calon yang bertanding adalah calon wanita sama ada mewakili BN, pembangkang mahupun bebas.

Daripada jumlah itu, BN menampilkan 22 calon wanita di kawasan Parlimen dan 49 di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Mengenai perancangan dirangka BN untuk memperkasakan wanita, Rohani berkata ia adalah kesinambungan kepada dasar dan program-program yang telah dan sedang dilaksanakan Kerajaan.

Menurutnya manifesto itu yang julung kalinya mema-sukkan inisiatif khusus untuk wanita yang disifatkan sebagai ‘ratu hati negaraku’, jelas menunjukkan kepentingan peranan wanita di negara ini selain selari dengan Tahun Memperkasa Wanita 2018 (TMW18).

“Kita berazam untuk memperbaiki kalau ada jurang antara jantina, kita mesti rapatkan jurang tersebut terutama dalam beberapa perkara seperti wanita dalam pekerjaan dan jurang gaji di sektor swasta,” katanya.

Ditanya mengenai perbezaan manifesto BN dengan manifesto Pakatan Harapan dalam aspek memperkasa wanita, Rohani berkata kebanyakan inisiatif yang dijanjikan pakatan itu telah dilaksanakan oleh Kerajaan.

“Dia (Pakatan Harapan) baharu hendak mula, tetapi kita telah jalankan,” katanya. — Bernama

Advertisement