Anda di sini

Tiga beradik termasuk kembar rentung

Advertisement
Rumah  kongsi ladang di Borneo Pegagau  yang musnah terbakar dan mengorbankan tiga beradik.
Rumah kongsi ladang di Borneo Pegagau yang musnah terbakar dan mengorbankan tiga beradik.

SEMPORNA: Tiga  kanak-kanak warga tempatan yang rentung dalam kejadian kebakaran sebuah rumah kongsi ladang di Borneo Pegagau  dekat  sini malam tadi, adalah adik-beradik dan dua daripadanya pasangan kembar.

Ketua Polis Daerah Semporna, Supt Peter Umbuas  berkata pasangan kembar yang maut dikenali sebagai Harmasius Roman (lelaki) dan Fonsaliana (perempuan), 5, dan adik lelaki mereka Amsalinus, 4.

"Kesemua  mangsa ditemukan rentung di bahagian bawah dapur berhampiran tangga dipercayai cuba menyelamatkan diri tetapi gagal," kata Peter dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Peter, siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa ditinggalkan bapanya di rumah itu untuk mengambil ibu mangsa yang berada di Kampung Peringkat Satu Pegagau.

"Sewaktu  ditinggalkan, pintu belakang rumah dikunci dan mangsa berada di bahagian ruang tamu rumah manakala pintu depan tidak dikunci," katanya dan dalam perjalanan pulang, ibu bapa mangsa  terlihat kepulan asap berhampiran rumah dan apabila sampai didapati rumah mereka terbakar.

Beliau berkata  bapa mangsa cuba menyelamatkan ketiga-tiga mangsa tetapi gagal kerana api merebak cepat dan memusnahkan 95 peratus rumah kayu itu.

Bomba  menerima panggilan kecemasan menerusi mers999 pada 7.47 malam dan operasi memadam kebakaran tamat pada 9.43 malam, memusnahkan 95 peratus rumah kayu itu. - BERNAMA

Advertisement