Anda di sini

Sasaran penurunan kadar Saidi menjelang 2020

Advertisement
PAIRIN (dua kiri) dan Jainab (kiri) melawat tapak pameran SESB sempena Hari Terbuka Bekalan Elektrik Sabah.
PAIRIN (dua kiri) dan Jainab (kiri) melawat tapak pameran SESB sempena Hari Terbuka Bekalan Elektrik Sabah.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri yakin kadar Sistem Purata Tempoh Gangguan (Saidi) di Sabah dapat diturunkan ke tahap 100 minit setiap pelanggan setahun menjelang 2020.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berkata, dengan kerjasama erat Kerajaan Persekutuan, lebih banyak usaha penambahbaikan dapat dilaksana dalam menyediakan bekalan elektrik kepada rakyat seluruh negeri.

"Sekarang ini, kita mempunyai permintaan tinggi terhadap bekalan elektrik dan kita mempunyai bekalan yang cukup, tetapi bekalan ini lebih banyak di pantai barat berbanding pantai timur.

"Penyaluran bekalan elektrik pada masa ini hanya satu saluran iaitu antara Sandakan dan Kota Kinabalu yang mana, bila terdapat gangguan bekalan elektrik akan menyukarkan kita menyalurkan bekalan ke satu-satu tempat.

"Sebab itu, bagi perancangan masa depan, kita memerlukan penyaluran bekalan elektrik yang dipanggil saluran selatan agar boleh membekalkan elektrik ke tempat yang mempunyai masalah bekalan elektrik," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutupan Hari Terbuka Bekalan Elektrik Sabah anjuran Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di sini pada Ahad.

Pairin berkata Projek Empangan Hidroelektrik di Ulu Padas juga salah satu usaha dalam memperbanyakkan lagi bekalan elektrik seluruh negeri.

"Kita perlu menambahkan bekalan elektrik negeri dengan projek pembinaan Empangan Hidroelektrik Ulu Padas yang membekalkan 180 megawatt (MW) dan bakal siap sepenuhnya pada 2024-2025.

"Sudah pasti sumber kuasa lain seperti solar seumpamanya sebenarnya sedang dipergiatkan supaya kita mempunyai bekalan yang lebih banyak dan mencukupi seperti Sarawak," katanya.

Namun jelasnya, terdapat kekangan dan permasalahan yang berlaku apabila kerajaan menyediakan infrastruktur berkenaan.

"Masalah kita sekarang ini adalah apa sahaja kita bekalkan mesti ada yang mencuri, melakukan kerosakan dan sebagainya.

"Kita telah merekodkan kerugian sejumlah RM3.3 juta dengan 700 kes yang dikenal pasti pada 2017. Jumlah ini meningkat berbanding tahun sebelumnya yang mencatatkan RM1.7 juta kerugian," jelasnya.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Jainab Ahmad Ayid, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu Datuk Yeo Boon Hai, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ir Edward Yong Oui Fah, Setiausaha Bahagian Bekalan Elektrik Sektor Tenaga Kementerian Teknologi Hijau dan Air (KETTHA) Veliana Ruslan dan Pengarah Pembangunan Pengurusan Tenaga dan Kualiti Perkhidmatan Suruhanjaya Tenaga Ir Abdul Rahim Ibrahim.

  • oleh
  • Advertisement