Anda di sini

RM3 juta untuk inisiatif program pendidikan

Advertisement
Bung Moktar menyampaikan sijil kepada salah seorang pelajar terbaik.
Bung Moktar menyampaikan sijil kepada salah seorang pelajar terbaik.

KINABATANGAN: Yayasan Felcra memperuntukkan lebih kurang RM3 juta untuk inisiatif program pendidikan bagi tahun ini.

Pengerusi Felcra Berhad Dato' Sri Bung Moktar Radin berkata antaranya tajaan pendidikan program sijil dan diploma untuk pelajar yang layak di Kolej Felcra, Seberang Perak, menaja 60 pusat Tuisyen Rakyat@KKLW di seluruh negara dengan empat sekolah menengah dan lapan sekolah rendah di Sabah.

“Selain itu, mengadakan bengkel 'Didik Hibur: Bijak Sifar' untuk pelajar sekolah rendah, memberikan sumbangan dermasiswa dan insentif IPT untuk anak-anak warga Felcra yang cemerlang dalam peperiksaan serta yang berjaya memasuki pusat pengajian tinggi,” katanya.

Tambahnya, Yayasan Felcra juga memberikan Skim Bantuan Bayar Balik 20 peratus Pinjaman PTPTN pelajar di Kolej Felcra di mana, Felcra akan membayarkan 20 peratus daripada jumlah pinjaman bagi setiap pelajar Kolej Felcra yang mengambil pinjaman PTPTN.

Bagi program-program kebajikan dan kemasyarakatan, Bung Moktar berkata Yayasan Felcra telah mengadakan program Pemeriksaan Kesihatan dan Sunathon seperti yang dijalankan di Batu Puteh tahun lepas, memberikan bantuan baik-pulih untuk rumah-rumah yang rosak dan membina rumah baharu bagi rumah yang musnah akibat terbakar.

Selain itu, memberikan bantuan kepada mereka yang ditimpa malapetaka dan yang mengalami penyakit kronik.

"Yayasan Felcra dan Felcra Berhad amat komited dalam menjalankan obligasi sosial terutamanya kepada masyarakat luar bandar yang memerlukan, sejajar dengan tagline Felcra #Felcra bantu rakyat tolong rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis penutupan Seminar Kecemerlangan Peperiksaan 2018 peringkat Kinabatangan di Dewan Sekolah Menenga Kebangsaan Bukit Garam Dua, pagi Ahad.

Pada masa sama, Bung Moktar turut mengumumkan Felcra akan memberikan sumbangan khas sebanyak RM30,000 kepada 300 pelajar yang menyertai program seminar berkenaan iaitu RM100 seorang untuk membuka akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional 1Malaysia (SSPN1M).

Beliau berkata seramai 163 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), 160 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan 100 calon anak-anak peserta Felcra mengikuti seminar berkenaan yang merupakan tahun kelima Yayasan Felcra berkolaborasi dengan NSTP/Berita Harian dalam mengadakan program Seminar Kecemerlangan Peperiksaan.

Antara matlamat utama program adalah untuk membantu meningkatkan kecemerlangan pelajar menerusi bimbingan dan penyediaan panduan atau strategi untuk menghadapi peperiksaan, dan menjana prestasi cemerlang pelajar serta menyuntik semangat supaya komited terhadap pembelajaran demi mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan yang bakal ditempuh.

Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sijil peserta terbaik UPSR kepada Muhammad Danish Badardin Hazuldin dan Siti Nor Fatiha Abdul Malik, manakala peserta terbaik SPM pula Andi Mohd Iqmal Andi Ramlan dan Sri Dewi Ayuni Abdul Latif.

Bung Moktar turut menyampaikan sumbangan simpanan SSPN1M kepada wakil ibu bapa peserta, Azhari Haji Ranggon (Ketua Peserta Ladang Felcra Berhad Koperasi Sukau) sebelum disampaikan kepada wakil PTPTN, Elwehairol Roslan.

Turut hadir, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kinabatangan Hartawan Kanai, Setiausaha Eksekutif Yayasan Felcra Hashimuddin Hashim, Pengurus Besar Kumpulan Kejuruteraan & Perkilangan Felcra Berhad Haridan Saad, Pengurus Besar Kumpulan Perladangan Felcra Berhad Dato’ Mat Roni Zakaria, Pengurus Besar Kumpulan Pemantauan Anak-Anak Syarikat Felcra Berhad Azhari Yahya dan Pengurus Besar Wilayah Sabah Irwan Abok.

Para pelajar serta ibu bapa bergambar kenangan bersama Bung Moktar serta tetamu kerhormat.
Para pelajar serta ibu bapa bergambar kenangan bersama Bung Moktar serta tetamu kerhormat.
  • oleh
  • Advertisement