Anda di sini

Pembangunan kawasan bukit dihentikan jika BN diberi mandat di Pulau Pinang

Advertisement
 Bukit diterokai dengan rakus demi pembangunan di Pulau Pinang.
TIDAK TERKAWAL: Bukit diterokai dengan rakus demi pembangunan di Pulau Pinang.

BUTTERWORTH: Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang akan menghentikan semua pembangunan di kawasan bukit dan lereng bukit sekiranya diberi mandat memerintah negeri itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengerusi BN negeri Teng Chang Yeow berkata BN akan menghentikan pembangunan di kawasan bukit dan lereng bukit melebihi 76.2 meter dari paras laut yang dikatakan membawa padah kepada rakyat Pulau Pinang.

Sambil menyifatkan Pulau Pinang kini di ambang krisis, beliau berkata pembangunan yang tidak dirancang terutamanya di lereng bukit hanya akan membawa mudarat kepada Pulau Pinang dan menjadi punca kepada 111 kejadian banjir dalam tempoh 2013 hingga 2017.

“Selama 10 tahun DAP mentadbir Pulau Pinang tanpa perancangan pelan induk ekonomi...sekarang ini bila langit gelap semua (penduduk Pulau Pinang) dah resah. Kalau dulu bila hujan kita tanya ada banjir tak, tapi sekarang kita tanya di mana banjir,” katanya berucap melancarkan manifesto BN Pulau Pinang dengan tema ‘Selamatkan Pulau Pinang’ di sini semalam.

Beliau berkata BN telah membina satu asas yang kukuh sepanjang 40 tahun memerintah negeri itu terutama dalam soal menjaga kepentingan alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.

Dalam tempoh itu, 1,182 hektar hutan telah diwartakan sebagai taman negara dan menjadikan hutan paya bakau sebagai hutan simpan kekal demi menjaga alam sekitar sekali gus mengelakkan berlakunya bencana alam.

“Sejak 10 tahun lepas apabila diperintah kerajaan DAP, pentadbiran negeri dilakukan secara ‘auto-pilot’ dengan mengguna pakai pelan BN tetapi dipinda mengikut kepentingan kerajaan negeri,” katanya.

Teng berkata selain pembangunan di lereng bukit, penduduk Pulau Pinang turut menghadapi kesukaran untuk memiliki rumah berikutan harga rumah yang tinggi, masalah tanah iaitu pembangunan hartanah dengan kepadatan terlalu tinggi dan kesesakan lalu lintas. — Bernama

Advertisement