Anda di sini

Pairin: Saya masih di sini

Advertisement

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan dan Infrastruktur Tan Sri Joseph Pairin Kitingan akan terus menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) jika diperlukan.

Namun, beliau belum tahu sama ada akan bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Walaupun Pairin yang juga presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) ada menyatakan hasrat 99 peratus tidak akan bertanding pada PRU14 namun dengan baki satu peratus itu, beliau berakta pencalonan akan ditentukan oleh barisan kepimpinan parti.

"Memang saya ada menyatakan bahawa tidak akan bertanding lagi pada pilihan raya akan datang tetapi mereka mempunyai jawatankuasa untuk membincangkan perkara ini bagi membuat keputusan.

"Saya sudah menyatakan hasrat ini tetapi jawatankuasa itu belum memberi kata putus dan kita tunggu keputusan daripada mereka.

"Sudah pasti pada ketika ini saya mahu bersara, tetapi apa yang saya akan lakukan adalah berkhidmat kepada rakyat jika saya diperlukan lagi dan saya masih ada di sini. Itulah jawapannya," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada Majlis Penutupan Hari Terbuka Bekalan Elektrik Sabah anjuran Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di sini pada Ahad.

Pairin berkata segala keputusan antara bertanding ataupun tidak pada PRU14 hanya akan diketahui pada hari penamaan calon kelak.

Memetik kenyataan Pemangku PBS Datuk Seri  Dr Maximus Ongkili, Pairin berkata calon lain yang akan bertanding juga akan diketahui pada penamaan calon.

Sementara itu, beliau yakin PBS tidak akan kehilangan kerusi di Keningau dan Tambunan jika beliau tidak bertanding pada pilihan raya akan datang.

"Tidak! Saya percaya rakyat akan tetap menyokong kerajaan yang sudah cukup membantu bukan sahaja di Keningau dan Tambunan tetapi seluruh negeri kita. Itulah kerajaan BN," katanya.

PAIRIN
PAIRIN
  • oleh
  • Advertisement