Anda di sini

MARA terus jadi kebanggaan selagi di bawah BN, kata Najib

Advertisement
 Najib bergambar bersama sebahagian pelajar MRSM pada Perhimpunan Saya Anak MARA di Universiti Kuala Lumpur (UNiKL) di ibu negara semalam. — Gambar Bernama
UNTUK ALBUM: Najib bergambar bersama sebahagian pelajar MRSM pada Perhimpunan Saya Anak MARA di Universiti Kuala Lumpur (UNiKL) di ibu negara semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata MARA akan terus wujud sebagai institusi kebanggaan Melayu dan Bumiputera selagi di bawah kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN).

Perdana menteri berkata kewujudan MARA hari ini adalah kerana dasar dan perjuangan kerajaan yang secara berterusan menjaga kebajikan dan hal ehwal institusi tersebut demi masa depan orang Melayu dan Bumiputera.

“Kewujudan MARA dekat di hati saya kerana pengasas MARA sendiri adalah bapa saya, (perdana menteri kedua) Allahyarham Tun Abdul Razak (Hussein). Maka pada saya, kesinambungan perjuangan terdahulu perlu dan akan diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada program ‘Himpunan Saya Anak MARA’ di UniKL MIAT di Subang dekat sini, semalam.

Hadir sama Pengerusi MARA Datuk Dr Awang Adek Hussin, Presiden Badan Permuafakatan Pendidikan MARA Malaysia (MUAFAKAT) Datuk Rizal Mansor dan Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Kata Najib, MARA juga diyakini akan terus ‘dijaga’ UMNO dan BN kerana  kewujudan institusi tersebut ada kaitan dengan perlembagaan parti itu sendiri.

“Sudah tertulis dengan jelas dalam fasal parti, bahawa hak Melayu dan Bumiputera akan diperjuang. Maka, MARA adalah badan yang penting dalam merealisasikan perjuangan itu,” katanya.

Selain itu, katanya dasar Bumiputera dan agenda pemerkasaan Melayu termasuk ekonomi adalah agenda nasional dan kerana itu, MARA akan terus menjadi kebanggaan negara.

Perdana menteri menarik perhatian, jika MARA tergelincir dalam landasan perjuangan, pastinya jutaan anak-anak kelahiran MARA termasuk yang memegang jawatan penting dalam UMNO dan BN tidak akan mengizinkan perkara itu berlaku.

Beliau turut memberi gambaran bahawa situasi yang dinikmati MARA ketika ini tidak akan berlaku jika ‘pihak sebelah sana’ yang menjadi kerajaan.

“Situasi berbeza dengan sebelah sana (pembangkang). Jika ada yang tidak sama dengan konsep Malaysian Malaysia, pasti mereka akan lakukan sesuatu.

“Kerana itu, adalah sangat penting untuk kita memastikan tsunami Melayu tidak akan berlaku seperti apa yang cuba dilakukan mereka.

“Saya percaya, sokongan daripada orang Melayu dan Bumiputera akan terus memberi keyakinan kepada UMNO dan BN. Ini sahaja yang boleh menjamin masa depan kita,” katanya yang disambut dengan tepukan gemuruh hadirin.

Justeru, perdana menteri menyeru seluruh rakyat, khususnya anak-anak kelahiran MARA agar tidak melayan atau terpengaruh dengan pujuk rayu ‘kem sebelah sana’ atau pembangkang yang berterusan menyalahkan kerajaan dalam apa sahaja situasi sekalipun.

“Yang terbaharu, kedai roti lingkup pun salahkan kerajaan, salahkan perdana menteri. Ini tidak masuk akal. Ramai anak-anak MARA meniaga tetapi tidak lingkup.

“Janganlah salahkan orang lain. Cukuplah politik seperti ini. Letaklah keyakinan kepada BN. Sebagai perdana menteri, saya akan bekerja keras dan meletakkan Malaysia setanding dengan negara terkemuka dunia,” kata Najib.

Bertemakan ‘Menggenggam Langit Biru’, himpunan julung kali itu dianjurkan  MUAFAKAT, yang dianggotai hampir 100,000 ibu bapa dan warga pendidik di Maktab Rendah Sains MARA, Kolej Profesional MARA dan Kolej MARA dengan kerjasama MARA. — Bernama

Advertisement