Anda di sini

Kim sambut kunjungan pegawai China

Advertisement
 Gambar yang dirakam kelmarin dan diserahkan KCNA semalam menunjukkan (barisan tengah dari kiri) Kim Yo Jong, Song Tao dan Ri Sol Ju menyaksikan persembahan balet oleh Balet Negara China di Pyongyang. — Gambar AFP
MISI MENAWAN HATI: Gambar yang dirakam kelmarin dan diserahkan KCNA semalam menunjukkan (barisan tengah dari kiri) Kim Yo Jong, Song Tao dan Ri Sol Ju menyaksikan persembahan balet oleh Balet Negara China di Pyongyang. — Gambar AFP

SEOUL: Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un sendiri menyambut seorang pegawai tertinggi dari China di Pyongyang dan menuntut hubungan yang lebih erat dengan Beijing, kata media kerajaan semalam, ketika sekutu tradisi itu cuba memulihkan hubungan yang rosak.

Kim berjumpa dengan Song Tao, ketua jabatan antarabangsa dalam Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China, yang mengetuai satu rombongan kesenian untuk menyertai sebuah pesta musim bunga di ibu kota Korea Utara.

Delegasi tiba hanya beberapa minggu sahaja selepas Kim melakukan lawatan mengejut ke Beijing dan berjumpa dengan Presiden China, Xi Jinping, yang menandakan usaha oleh kedua-dua pemimpin untuk menguatkan lagi pakatan penting menjelang tempoh diplomasi yang amat penting.

Kim dijangka mengadakan sidang kemuncak dengan Presiden Korea Selatan Moon Jae-in pada bulan ini dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump pada minggu-minggu berikutnya.

Agensi berita rasmi Korea Utara KCNA berkata, Kim menyambut Song dan delegasinya dalam satu pertemuan kelmarin di mana Song menyampaikan ‘salam mesra’ Xi.

Kedua-dua mereka bertukar-tukar pandangan yang mendalam mengenai perkara penting yang melibatkan kedua-dua negara dan situasi antarabangsa, kata KCNA tanpa memberi maklumat lanjut.

“Pemimpin Tertinggi berkata dia akan memajukan ke hadapan dan mengembangkan secara positif persahabatan tradisional DPARK-China ke dalam fasa baharu pembangunan seperti yang dituntut oleh era baharu,” ujarnya dengan menggunakan akronim rasmi Korea Utara.

Beijing merupakan sekutu utama tunggal Korea Utara, pakatan yang bermula pada waktu Perang Korea 1950-1953, tetapi hubungan merosot selepas China menyokong sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk menghukum Pyongyang berhubung program senjata nuklearnya.

Lebih banyak perbincangan dan kerjasama peringkat tinggi akan menyusul di antara Beijing dan Pyongyang, laporan itu memetik Kim sebagai berkata.

Dalam jawapannya, Song berjanji untuk memberi “sumbangan baharu kepada usaha menggalakkan perkembangan yang berpanjangan dan stabil dalam hubungan China-DPRK”.

Kim turut mengadakan bankuet untuk delegasi China, di mana pegawai daripada kedua-dua pihak meraikan keinginan mereka yang sama untuk menghiasi taman bunga persahabatan DPRK-China dengan lebih cantik lagi.

Gambar yang disiarkan oleh akhbar rasmi Rodong Sinmun menunjukkan pegawai China dan Korea Utara duduk di beberapa buah meja bulat dalam sebuah dewan bankuet yang begitu besar dengan mural Kim dan Xi yang berjabat tangan menghiasi sebelah dinding.  

Satu lagi gambar menunjukkan orkestra Korea Utara membuat persembahan dengan gambar besar Xi yang dipancarkan pada latar belakang.

Song mengetuai rombongan kesenian China yang menyertai perayaan kesenian musim bunga di Pyongyang yang diadakan sebagai sebahagian daripada acara peringatan sempena ulang tahun kelahiran pengasas Korea Utara, Kim Il Sung, pada 15 April 1912.

Artis asing dan Korea Utara mengambil bahagian, dan acra selama seminggu pada tahun ini termasuk konsert, persembahan tarian dan akrobatik.

KCNA turut mengeluarkan satu laporan berasingan yang jarang sekali dilakukan mengenai isteri Kim yang menonton persembahan oleh rombongan kesenian China kelmarin tanpa suaminya.

“Wanita Pertama Ri Sol Ju menikmati drama tarian balet ‘Giselle’ yang dipersembahkan oleh Balet Negara China,” KCNA melaporkan dan menambah dia mengadakan “perbualan mesra” dengan tetamu sebelum persembahan disampaikan.

China sudah menghantar rombongan kesenian ke setiap pesta sejak 1986, kecuali pada 2016. — AFP

Advertisement