
KOTA KINABALU: Persatuan Sino KadazanDusun Murut Sabah sekali lagi menolak sekeras-kerasnya penggunaan formula tiga generasi yang dilihat telah mengekploitasikan hak seorang berketurunan Sino.
Presidennya Datuk Johnny Goh berkata, isu itu hangat diperkatakan dalam kalangan masyarakat Sino dalam negeri ini sehingga mengecewakan golongan itu secara keseluruhannya.
"Keputusan yang ditetapkan oleh Mahkamah Anak Negeri yang mencipta status seorang Sino KDM dihadkan kepada tiga generasi adalah bercanggah kepada undang-undang sedia ada iaitu Interpretation ( Definition of Native) Ordinance (Sabah Cap.64) dan Native Courts Enactment 1992 (Sabah Cap.86).
"Tidak ada keturunan di dunia ini sekiranya status hak asalnya adalah Anak Negeri tiba-tiba akan hilang status haknya selepas tiga generasi.
"Ini adalah satu formula yang bertentangan dengan norma kehidupan sesebuah masyarakat dan bercanggah dengan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menjamin hak orang asal sentiasa dipelihara," katanya ketika dalam sidang media di sini pada Ahad.
Beliau berkata, Ketua Menteri Tan Sri Musa Haji Aman pernah menggatakan bahawa kerajaan akan mengkaji semula pengembalian identiti Sino sebagai Anak Negeri di sini dan meminta agensi-agensi kerajaan turut memberikan kerjasama ke arah itu.
Bagaimanapun katanya, masyarakat Sino masih berhadapan dengan masalah khususnya penurunan atau pertukaran waris geran berstatus Tanah Adat (NT) daripada jabatan berkaitan.
"Selain itu, komuniti Sino juga berhadapan kesulitan ketika berurusan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang mana meminta warga Sino KDM memilih bangsa sama ada Cina atau Kadazan/Dusun/Murut.
"Kini anak berketurunan Sino juga susah untuk memasuki institusi pengajian Universiti Teknologi MARA (UiTM) walaupun sebelum 2013 tidak berhadapan dengan masalah itu," katanya.
Menurutnya, persatuan itu sangat berterima kasih kepada kepimpinan KDCA atas sokongan yang diberikan oleh Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Datuk Seri Panglima Dr Maximus Ongkili kerana membantu mempertahankan hak Sino di Sabah.
Selain itu katanya, resolusi daripada Bengkel Pemurnian 'lahir sebagai seorang Sino adalah hak bukannya keistimewaan' yang diadakan baru-baru ini akan diserahkan kepada pejabat Ketua Menteri selepas Pilihan Raya Umum nanti.