Anda di sini

Ahli PPNS sokong padu BN

Advertisement
Nazri bersama Musa sempena program Muafakat Peladang di Sandakan pada Ahad.
Nazri bersama Musa sempena program Muafakat Peladang di Sandakan pada Ahad.

SANDAKAN: Anggota Pertubuhan Peladang di Sabah akan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Komitmen itu dizahirkan oleh Pengerusi PPNS Datuk Mohd Nazri Abdullah ketika berucap sempena program Muafakat Peladang dan perasmian Mesyuarat Agung Tahunan ke-15 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sandakan di sini pada Ahad.

Majlis dirasmikan oleh Ketua Menteri Tan Sri Musa Hj Aman.

Beliau berkata sokongan anggota pertubuhan itu akan diterjemahkan dalam undi kepada calon-calon BN yang bertanding di kawasan masing-masing.

“Ini adalah ikrar ahli Pertubuhan Peladang di Sabah kerana kami mengingati jasa dan kebaikan kerajaan BN yang sentiasa berusaha meningkatkan kesejahteraan rakyat termasuk golongan petani dan peladang.

“Tiada kerajaan lain selain BN yang telah terbukti sentiasa mencari jalan dan usaha untuk meningkatkan pendapatan isi rumah rakyatnya terutama anggota peladang.

“BN adalah satu-satunya kerajaan yang mengutamakan keperluan rakyat dan mahu rakyat terus bergerak maju dan menikmati kemakmuran ekonomi negara," katanya.

Nazri yang juga timbalan pengerusi Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) berkata pihaknya menghargai dukungan Kerajaan Pusat selama ini, termasuk peruntukan sekali sebanyak RM30,000 kepada setiap PPK dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) membabitkan dana RM7 juta.

Menurut beliau, dengan keahlian lebih 100,000 dalam PPK di Sabah yang bernaung di bawah PPNS, golongan peladang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara, terutama dari segi bekalan makanan.

Katanya, sektor pertanian dan agromakanan menyumbang secara signifikan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"PPNS menghargai sokongan kerajaan kepada masyarakat peladang yang membekal sumber makanan," katanya sambil menghargai pengiktirafan Perdana Menteri atas sumbangan masyarakat peladang sebagai 'wira tidak didendang'.

Advertisement