
PAPAR: Seramai 40 ahli Pertubuhan Kadazan Dusun Murut Malaysia (KDM Malaysia) yang dipimpin Datuk Peter Anthony meninggalkan organisasi itu dan mengumumkan menyertai Umno, dalam satu majlis di Kampung Kelatuan, di sini, malam Sabtu.
Menariknya, tindakan itu diketuai oleh Paul Anthony, iaitu abang kepada Peter yang kini menjadi timbalan presiden Parti Warisan.
Paul bersama Ketua Wanita KDM Malaysia Cawangan Kg Kelatuan Jessie Chalech melafazkan ikrar di hadapan Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman yang juga Ketua Umno Bahagian Kimanis serta Presiden Majlis Hal-Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS) Datuk Mohamad Alamin.
Majlis dihadiri kira-kira 200 penduduk sekitar.
Ketika ditemui kemudian, Paul berkata mereka mengambil keputusan menyertai Umno kerana percaya dan yakin parti itu mampu membela nasib rakyat, terutama di kawasan luar bandar.
"Kerajaan BN banyak membantu rakyat menerusi pelbagai agensi, termasuk golongan nelayan," katanya yang bekerja sebagai nelayan sepenuh masa.
Paul, 55, merupakan anak kelima daripada sembilan beradik, manakala Peter anak kelapan.
"Dulu kami dalam KDM Malaysia sebagai sebuah NGO... kami ikut saja, tapi kini bila dia (Peter) masuk parti pembangkang, maka kami putuskan masuk Umno yang banyak membantu rakyat selama ini," katanya.
Ditanya apakah Peter pernah memujuknya mengikut jejak menyertai pembangkang, Paul berkata memang ada seorang lagi adik beliau datang membawa borang dan bendera parti pembangkang berkenaan, namun beliau menolaknya.
"Saya cakap tidak mahu lagi (ikut Peter masuk pembangkang)... cukuplah apa yang dia buat selama ini, sekarang saya ikut Umno... kita sama-sama perjuangkan ideologi parti masing-masing," katanya.
Beliau mendakwa Peter tidak pernah membantu mereka adik-beradik dan hanya membantu kroninya saja, justeru mempersoalkan bagaimana beliau mahu perjuangkan nasib rakyat keseluruhannya jika keluarga sendiri pun diabaikan.
Katanya, beliau tidak tertarik untuk menyertai parti pembangkang bersama adiknya kerana parti berkenaan belum lagi terbukti keupayaannya berbanding BN.
Dalam pada itu, Anifah dalam ucapannya mengalu-alukan keputusan bekas ahli KDM Malaysia menyertai Umno dan berharap mereka memberikan sokongan padu kepada BN pada pilihan raya umum kali ini.
"BN adalah parti terbaik yang berjaya mewujudkan keamanan dan kemakmuran untuk rakyat dan negara," katanya sambil menegaskan beliau komited membela nasib rakyat tanpa mengira bangsa, agama atau keturunan.
Beliau berkata pihaknya turut menitikberatkan soal pendidikan anak-anak dari segi pendidikan, menerusi penubuhan jawatankuasa khas membantu rakyat dalam bidang berkenaan.