Anda di sini

155 terima pakej bantuan mobilepreneur

Advertisement
MUSA bersama tetamu jemputan lain menyempurnakan simbolik penyerahan mobilepreneur.
MUSA bersama tetamu jemputan lain menyempurnakan simbolik penyerahan mobilepreneur.

SANDAKAN: Seramai 155 peserta dari seluruh negeri ini telah menerima pakej bantuan mobilepreneur yang meliputi motosikal, kotak peralatan, set peralatan kemahiran dan kursus asas keusahawanan.


Para peserta itu meliputi beberapa cabang bidang iaitu perkhidmatan otomatif, perkhidmatan penghawa dingin, perkhidmatan spa dan kecantikan, perkhidmatan jahitan, perkhidmatan gunting dan dandanan rambut, perkhidmatan motosikal, perkhidmatan kimpalan, perkhidmatan komputer, perkhidmatan senggaran paip, perkhidmatan senggaraan bangunan serta perkhidmatan fotografi.


Dalam ucapannya, Ketua Menteri Tan Sri Musa Haji Aman berkata bantuan mobilepreneur itu adalah antara usaha kerajaan Barisan Nasional (BN) melalui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dalam membantu golongan muda untuk memulakan perniagaan.


Katanya, adalah menjadi hasrat kerajaan untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan muda agar boleh berdikari dan seterusnya berjaya dalam bidang perniagaan dan keusahawanan.


"Inilah hasrat kita supaya anak-anak muda diberi perhatian dari masa ke masa. Apa yang baik demi masa depan mereka, itulah yang kita berusaha untuk bantu.


"Kita berterima kasih kepada KKLW kerana sentiasa mempunyai ilham dan idea yang baharu untuk bagaimana kita boleh membantu anak-anak muda.


"Kita di pihak kerajaan negeri menyokong sepenuhnya apa sahaja inisiatif yang baik untuk anak-anak muda. Kalau boleh, kita minta lagi lebih banyak projek dan idea baharu untuk membantu golongan ini," katanya pada Majlis Penyerahan Mobilepreneur@KKLW Negeri Sabah di Bangunan Pergerakan Pemuda Umno Parlimen Libaran di sini kelmarin.

  • oleh
  • Advertisement