Anda di sini

Penjual syabu dicekup

Advertisement
SUSPEK diberkas bersama kotak rokok mengandungi plastik berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu.
SUSPEK diberkas bersama kotak rokok mengandungi plastik berisi ketulan hablur jernih disyaki syabu.

TAWAU: Seorang suspek penjual syabu yang disyaki aktif di Sapulut berjaya ditangkap semasa menunggang motosikal di Batu 2 Jalan Kalabakan- Keningau, pada Jumaat.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) DCP Datuk Hazani Ghazali berkata, suspek diberkas oleh sepasukan anggota keselamatan diketuai Esscom.

“Suspek berumur 20 tahun dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri,” katanya, menerusi kenyataannya kepada media di sini, pada Sabtu.

Hazani berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek turut membawa bungkusan plastik berisi ketulan hablur jernih yang dipercayai dadah jenis syabu seberat kira-kira 10.48 gram.

Menurutnya, penahanan itu dilakukan susulan rondaan cegah jenayah di kawasan berkenaan sebaik pasukan keselamatan yang bertugas terserempak dengan suspek.

“Suspek dilihat menunggang motosikal tanpa nombor pendaftaran serta berada dalam keadaan mencurigakan, malah suspek cuba melarikan diri ketika ditahan untuk diperiksa.

”Semasa pemeriksaan tubuh, suspek menyerahkan kotak rokok berwarna merah yang berisi bungkusan plastik mengandungi ketulan hablur jernih mencurigakan,” katanya.

Beliau berkata, suspek kini ditahan mengikut Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, dan dibawa ke IPD Tawau untuk tindakan selanjutnya termasuk barang rampasan.

Mengulas lanjut, kejayaan itu disifatkannya sebagai kesan positif daripada pelaksanaan inisiatif Esscom menjalankan Road Check Points (RCP) semenjak Mac lepas.

“Langkah ini dibuat sebagai usaha kita mengurangkan kemasukan pendatang tanpa izin dan menyekat aktiviti penyeludupan di kawasan terlibat khususnya Kalabakan,” katanya.

PASUKAN keselamatan menahan suspek kerana kelihatan mencurigakan semasa menunggang motosikal tanpa nombor pendaftaran ini.
PASUKAN keselamatan menahan suspek kerana kelihatan mencurigakan semasa menunggang motosikal tanpa nombor pendaftaran ini.
  • oleh
  • Advertisement