
KOTA KINABALU: Propaganda pembangkang yang mengatakan bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) menjual kedaulatan negara kepada China disifatkan sebagai fitnah jahat yang mahu mencipta persepsi negatif kepada parti kerajaan itu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Panglima Rahman Dahlan berkata, kenyataan tidak berlandaskan fakta dan angka oleh pembangkang itu hanya bertujuan menakut-nakutkan rakyat Malaysia apatah lagi pada musim Piliha Ranya Umum ke-14 (PRU14) yang semakin dekat.
" Bagi pembangkang, mereka akan sanggup melakukan apa sahaja demi kuasa termasuklah mensabotaj ekonomi negara dan rakyat.
" Tidak ada sekelumit pun kedaulatan negara yang akan BN pajakkan kepada mana-mana negara asing. Jangan gadaikan masa depan anda dan tanahair yang kita cintai ini," katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Sabtu.
Jelas Rahman, jumlah terkumpul pelaburan China (termasuk Hong Kong) di Malaysia setakat tahun lepas adalah bernilai RM65.0 bilion.
Katanya, angka itu jelas lebih rendah daripada jumlah terkumpul pelaburan Singapura (RM116.3 bilion) dan Jepun (RM71.6 bilion).
"Jumlah pelaburan China di Malaysia adalah yang ketiga tertinggi di bawah Singapura dan Jepun.
"Menurut logik pembangkang, kedaulatan Malaysia sepatutnya terjual kepada Singapura dan Jepun dahulu kerana jumlah pelaburan mereka yang lebih besar jika dibandingkan dengan jumlah pelaburan yang dibuat oleh China dalam negara kita," katanya.
Menurutnya lagi, sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia sudah tentu akan menerima pelaburan dari luar negara tetapi tidak terhad kepada China sahaja.
Katanya, jumlah pelaburan asing terkumpul di Malaysia sehingga 2017 adalah RM565 bilion yang mana pelaburan dari China hanyalah mewakili 11.5 peratus daripada jumlah pelaburan asing di Malaysia.
Bahkan katanya, Malaysia juga menerima pelaburan dari negara-negara Eropah seperti Belanda, Switzerland, Jerman, United Kingdom, Denmark dan juga Amerika Syarikat.
" Baru-baru ini syarikat Saudi Aramco dari Arab Saudi bersetuju melabur 7 bilion US Dollar (RM27 bilion) di dalam Projek RAPID Pengerang.
"Saya yang terlibat secara langsung di dalam rundingan bersama-sama Menteri Tenaga, Industri dan Sumber Mineral Arab Saudi, Khalid al-Falih mendapat maklum balas yang positif dari pihak mereka tentang ekonomi Malaysia," katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan rakyat Malaysia agar berhati-hati sebelum percaya dan menyebarkan propaganda seumpama itu.
Katanya, berita palsu yang disebarkan oleh pembangkang hanya dapat menjejaskan ekonomi negara yang akhirnya akan merugikan diri sendiri.